Thursday, March 26, 2015

Ulasan Buku: Dilema Melayu oleh Mahathir Mohamad

MAHATHIR SEBELUM DUNIA POLITIK


Sebelum menjadi seorang pemimpin masyarakat, Mahathir merupakan seorang kolumnis yang aktif menulis di ruang-ruang akhbar. Antara akhbar-akhbar yang memaparkan tulisan beliau ialah The New Strait Times. Dilema Melayu merupakan karya beliau yang telah mencetuskan kontroversi pada era pemerintahan Tunku Abdul Rahman.

Karya ini telah diharamkan pengedarannya pada tahun 1970 berikutan tercetusnya rusuhan kaum pada tahun 1969 kerana dilihat mempunyai unsur-unsur hasutan. Walau bagaimanapun, ianya telah dicetak kembali sewaktu Mahathir memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Hal ini kerana, karya ini dilihat sebagai alasan intelektual bagi mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mengimbangkan keadaan ekonomi bangsa Melayu.

Sebagai seorang kolumnis, penulisan Mahathir sarat dengan kritikan dan kenyataan yang bersifat berterus-terang dalam menghuraikan keadaan bangsa Melayu di Malaysia pada tempoh tersebut. Dalam buku Dilema Melayu misalnya, Mahathir menyatakan pengaruh warisan dan budaya sebagai sebab utama rintangan pembangunan orang Melayu. Inti sari dilema ini dapat dikesan melalui huraian Mahathir tentang budaya politik Melayu yang berakar umbi sekian lama (Hiley, 2009: 53).

KONTEKS DILEMA MELAYU (UNSUR-UNSUR KELEMAHAN)


Dalam buku beliau Dilema Melayu, Mahathir banyak menyentuh tentang unsur-unsur kelemahan bangsa Melayu yang dilihatnya sebagai penghalang kepada proses kemajuan bangsa tersebut. Pada pandangan Mahathir, selagi mana kelemahan ini tidak diperbaiki, maka selamanyalah bangsa Melayu tidak akan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain seperti kaum Cina khususnya sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Antara unsur-unsur kelemahan yang disebutkan oleh Mahathir dalam buku ini ialah;

Pertamanya, Mahathir melihat punca bangsa Melayu lemah dalam pelbagai aspek kehidupan adalah disebabkan oleh budaya dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Sebagai contoh, perkahwinan antara ahli keluarga terdekat dikatakan menjadi punca kelemahan pemikiran bangsa Melayu. Hal ini demikian kerana, faktor-faktor keturunan adalah amat penting dalam perkembangan sesuatu bangsa (Mahathir, 1982). Menurut Mahathir (1982);
Hukum Mendel menyatakan bahawa zuriat itu bukanlah merupakan jenis perantaraan antara kedua-dua baka ibu bapa, tetapi menurut hukum yang lazim, baka salah seorang dari ibu bapa itu adalah lebih menonjol dalam zuriat yang dilahirkan. Hukum ini adalah penting kerana ia menolak konsep lazim yang menyatakan bahawa zuriat hendaklah merupakan perwatakan yang lebih sederhana dari sifat-sifat utama kedua-dua ibu bapa.
Menurut Hukum Mendel, terdapat dua ciri dalam genetik iaitu ciri dominan dan ciri resesif. Selalunya, ciri-ciri dominan akan mengatasi ciri-ciri resesif apabila kedua-duanya digabungkan. Oleh itu, jika ciri-ciri dominan kedua ibu bapa adalah sama, maka kemungkinan untuk anak mereka mendapat ciri-ciri dominan tersebut adalah besar. Perkara ini pada pandangan Mahathir merugikan jika ciri-ciri dominan tersebut melibatkan aspek kecerdasan otak, kerajinan dan kepintaran.

Pada zaman Mahathir tersebut, sudah menjadi budaya masyarakat Melayu untuk mengahwinkan anak mereka dengan saudara-mara terdekat atas alasan tidak mahu harta yang diwarisi jatuh ke tangan orang luar, lebih dekat dan sebagainya tanpa memikirkan mengenai pewarisan sifat yang sama dalam keturunan tersebut dan kelemahannya.

Secara mudahnya, jika berkahwin sesama ahli keluarga seperti sepupu dengan sepupu, maka ciri-ciri genetik seperti lemah daya fikir, penyakit keturunan, akan diwarisi oleh keturunan tersebut. Keturunan tersebut tidak akan dapat berkembang kerana mewarisi ciri-ciri dominan yang sama. Agama Islam misalnya menggalakkan umatnya untuk berkenal-kenalan dengan bangsa-bangsa yang berlainan dan tidak hidup dalam kelompok tersendiri sahaja. Menurut Mahathir (1982):
Zuriat yang paling baik ialah hasil dari ibu bapa yang mempunyai ciri-ciri dominan yang berbeza. Kaum keluarga yang dekat lazimnya menyerupai antara satu sama lain, oleh itu besar kemungkinan mereka mempunyai ciri-ciri resesif yang sama. Dengan itu perkahwinan di dalam kaum keluarga ini tidak akan menghasilkan zuriat yang baik. Sebaliknya, orang yang tidak ada pertalian darah mempunyai banyak ciri yang berbeza. Oleh itu perkahwinan di antara orang-orang ni akan menghasilkan zuriat yang lebih baik sebab mereka akan mewarisi ciri-ciri dominan yang baik dari kedua-dua ibu bapa mereka, sementara itu ciri-ciri yang resesif akan pupus.
Selain itu, budaya bangsa Melayu yang dilihat melemahkan bangsa tersebut dari segi persaingan dengan bangsa lain di Tanah Melayu ialah alam sekitar yang dipengaruhi oleh faktor keturunan. Bangsa Cina tak menggalakkan perkahwinan satu rumpun. Oleh itu, baka yang dihasilkan adalah terdiri daripada ciri-ciri yang baik dan mampu menambahkan pengaruh alam sekitar dalam kalangan mereka. Penghijrahan mereka dari Tanah Besar menjadikan mereka bangsa yang lebih rajin berusaha dan tahan cabaran.

Alam sekitar yang kurang membantu dalam memberikan pendedahan hakikat sebenar keadaan Tanah Melayu pada waktu itu menyebabkan bangsa Melayu yang berada di luar bandar kurang berminat dalam bidang perniagaan atau pertukangan. Mereka hanya memberikan tumpuan kepada pertanian. Hal ini demikian kerana tempat tinggal di luar bandar tidak mengizinkan mereka untuk bergaul dan bersosial dengan bangsa lain.

Orang Melayu yang tinggal di bandar pula hanya memberikan tumpuan untuk menjadi pentadbir dan kakitangan awam. Kepercayaan kepada benda-benda tahayul seperti zaman animisme turut melemahkan bangsa Melayu. Kepercayaan-kepercayaan karut ini menjadikan minda bangsa Melayu tertutup untuk melakukan perubahan dan tidak berani melanggar pantang-larang yang kadangkala dilihat tidak relevan dan menyulitkan.

Upacara memuja semangat alam misalnya. Tidak boleh menyalahkan bangsa Melayu seratus peratus atas kelemahan dari pelbagai aspek hidup, Mahathir turut menyatakan dasar pemerintahan British yang bersifat pecah dan perintah turut memberi kesan kepada pembangunan masyarakat Melayu. Pemisahan dilakukan bukan sahaja antara bangsa malah dalam bangsa Melayu sendiri berlaku pemisahan antara orang Melayu bandar dengan orang Melayu luar bandar.

Tujuan British berbuat demikian adalah bagi melemahkan bangsa Melayu dalam bidang politik dan ekonomi. Dengan mengekalkan masyarakat Melayu luar bandar di tempat asal mereka, pihak British dapat menumpukan perhatian kepada aktiviti perdagangan dan mengelakkan orang Melayu daripada bersatu dan menentang British. Perhubungan di antara orang Melayu di bandar dengan orang Melayu di luar bandar juga terbatas kerana kurangnya pembinaan jalan raya (Mahathir; 1982).

Keadaan kesihatan masyarakat Melayu yang tidak dititikberatkan turut merupakan unsur-unsur kelemahan yang ditekankan dalam Dilema Melayu yang menjadi punca kemunduran bangsa Melayu. Amalan kahwin muda dan sikap memandang rendah seseorang yang tidak berkahwin dilihat Mahathir sebagai unsur kelemahan Melayu dari sudut budaya. Hal demikian kerana, perkahwinan pada usia 13 atau 14 tahun merupakan terlalu awal dan pasangan masih tidak matang.

Pasangan kurang berdikari dan bergantung kepada ibu bapa untuk menjaga anak-anak mereka. Cara penjagaan ini pada Mahathir adalah tidak sihat dan dari sudut jangka panjang akan melemahkan bangsa Melayu. Dari sudut ekonomi, kedudukan ekonomi mereka yang begitu rendah diterangkan di sini secara objektif seperti yang dirumuskan oleh orang Melayu. Kedatangan pendatang asing sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka telah menyebabkan berlaku percampuran yang lama-kelamaan mereka diterima dalam kelompok bangsa Melayu.

Persaingan yang sengit antara bangsa Melayu dan Cina bukan menyebabkan bangsa Melayu semakin berusaha kuat, tetapi mereka telah hilang minat dan tidak berdaya saing. Bangsa Melayu hanya memikirkan cara untuk kembali kepada kehidupan yang mudah dengan kerja yang tetap di bawah pentadbiran British. Mereka tidak berminat untuk menceburkan diri secara serius dalam bidang perniagaan bagi mengatasi serta menembusi monopoli perniagaan yang dipegang oleh orang-orang Cina (Mahathir, 1982).

Bagi orang-orang Melayu yang tidak begitu mengetahui tentang selok-belok perniagaan, mereka sudah keliru dengan cara perniagaan yang dijalankan selepas perang. Orang Melayu memang tidak arif dengan pemberian rasuah dan lain-lain cara putar belit, dan apabila golongan yang berpelajaran bekerja semula dengan kerajaan, peluang mereka untuk menjadi kaya dengan cepat dan membaiki kedudukan mereka dalam dunia perniagaan turut terlepas (Mahathir, 1982: 45).

Selain itu, sikap tidak sabar turut merupakan unsur kelemahan bangsa Melayu. Dalam bidang ekonomi, mereka mengamalkan perniagaan secara Ali-Baba. Cara ini adalah cara yang paling mudah bagi orang Melayu untuk mengaut keuntungan jangka pendek. Mereka berkongsi niaga dengan orang Cina yang memiliki modal dan pengetahuan tentang perniagaan. Walau bagaimanapun, orang Melayu hanya mengaut hasil daripada jumlah wang yang tetap bagi lesen perniagaan tetapi tidak mahu langsung mengambil bahagian dalam perniagaan tersebut.

Kesannya, orang Melayu tetap tidak mempunyai kemahiran dalam menguruskan perniagaan. Mahathir menyatakan pendirian bahawa penyertaan orang Melayu sebegini akan menggagalkan nasib bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, pada waktu tersebut hanya inilah satu-satunya cara orang Melayu dapat terlibat dalam perniagaan dan tidak ketinggalan di belakang. Berbeza dengan orang Melayu, orang Cina sangat berpegang teguh kepada ikatan keluarga dan perasaan cauvinisme mereka yang amat ekstrem yang mana membantu mereka untuk berjaya dalam perniagaan.

Sikap orang Melayu terhadap keadaan ketidakseimbangan penglibatan dalam bidang perusahaan dan perdagangan adalah berbeza-beza. Ada yang mengambil sikap tidak apa dan menerima sahaja hakikat bahawa mereka tersisih di bidang perusahaan dan perdagangan. Di samping itu ada pula yang merasa begitu iri hati dan membantah terhadap kuasa ekonomi orang-orang Cina. Pada masa ini sikap tidak apa di kalangan orang Melayu sudah beransur kurang kerana kerja-kerja dalam perkhidmatan kerajaan yang menjadi harapan mereka semakin berkurangan oleh kerana beberapa sebab.

Apabila semakin ramai orang Melayu menghadapi masalah pengangguran, sikap tidak puas hati mereka kerana orang Melayu tersisih di bidang perniagaan semakin meningkat. Seperti biasa sikap orang Melayu yang bersopan santun dan sudi menerima kehadiran orang-orang bukan Melayu telah menghalang orang Melayu dari menyuarakan pendapat mereka secara terbuka. Orang Melayu yang kaya terutamanya pemimpin selalu mengambil sikap mengalah walaupun sesuatu dasar dilihat berat sebelah dan tidak dapat membantu bangsa Melayu.

Antara unsur kelemahan Melayu lagi yang disebut oleh Mahathir ialah sikap tidak mahu mempelajari sesuatu yang baru. Orang Melayu hanya tahu menggunakan sesuatu barangan dan perkhidmatan hasil dari kemahiran bangsa lain tanpa mahu mempelajari cara untuk memperoleh kemahiran ini. Jika dilihat kembali sejarah, orang Melayu bukanlah tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pertukangan atau perniagaan, tetapi kepakaran tersebut perlu seiring dengan zaman.

Persaingan dengan bangsa lain seharusnya menjadikan sesuatu bangsa itu berdaya saing dan perlu mempunyai kelebihan tersendiri. Malangnya disebabkan sikap tidak mahu mempelajari sesuatu perkara yang baru menjadikan orang Melayu semakin ketinggalan. Selain itu, pandangan stereotaip dalam kalangan pemimpin Melayu sendiri yang berpandangan bahawa orang Melayu tidak sesuai menceburi bidang perniagaan atau pekerjaan mahir.

Mereka melihat orang Melayu hanya sesuai menjadi kaum tani. (Kononnya wang bagi orang Melayu tidaklah sama ertinya seperti bagi orang Cina. Mereka juga berpendapat bahawa orang Melayu memang tidak ada keinginan atau keupayaan untuk bekerja kuat. Lebih-lebih lagi orang Melayu tidak boleh berubah). Secara keseluruhannya, bangsa Melayu lemah kerana perasaan rendah diri. Perasaan ini wujud hasil dari gabungan genetik, psikologi dan perbalahan sosioekonomi.

Sesetengah sifat orang Melayu digambarkan sebagai rintangan kepada kemajuan, mementingkan bentuk dan kecenderungan terhadap fatalisme (sikap suka berserah) (Hilley, 2009: 53). Selain itu, budaya kesopanan yang tinggi disalahtafsirkan sebagai tanda hormat. Orang Melayu juga terlalu bertolak ansur terhadap bangsa lain yang menyebabkan budaya berniaga yang dinamik tidak dapat diterapkan.

PENUTUP


Walaupun tulisan Mahathir dalam Dilema Melayu telah mengundang kontroversi kerana dilihat sebagai lantang dalam mengkritik bangsa Melayu dan Cina di Malaysia, namun kenyataan yang dipaparkan masih relevan. Unsur-unsur budaya merupakan perkara asas pembinaan sesebuah bangsa dalam negara. Kelemahan sesuatu bangsa semestinya bermula dari dalam akar bangsa itu sendiri.

Ketidakseimbangan politik dan ekonomi yang berlaku dalam negara semenjak selepas merdeka adalah disebabkan oleh kelemahan sikap yang datang daripada budaya bangsa itu sendiri. Walau bagaimanapun, Mahathir turut menyentuh dasar penjajahan British yang turut menjadi faktor terbesar Melayu terpinggir dari arus pembangunan negara. Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan sememangnya mempunyai tujuan yang jelas untuk meminggirkan bangsa Melayu.

Oleh itu, sebagai penyelesaian, Mahathir melihat perlunya bangsa Melayu dibantu oleh kerajaan bagi mengelakkan rusuhan kaum berlaku akibat rasa ketidakpuasan hati atas ketidakseimbangan ekonomi. Mahathir berusaha mengetengahkan reformis yang berasaskan agenda pertumbuhan yang sesuai dengan pemikiran Islam moden; yakni agenda yang dapat mendorong Bumiputera untuk bersaing dan mengeluarkan Melayu daripada ‘pergantungan’ pada suasana sosioekonomi (Hilley, 2009: 56).

RUJUKAN

Hilley, John. 2009. Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang Baru. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Disediakan oleh:
  1. Nurhidayu Rosli (Calon PhD - Sains Politik)

1 comment:

  1. Coin Casino Review 2021 | Honest Review of US Casino
    Get our honest casino 바카라 review. Grab a 100% Welcome Bonus up to choegocasino $1000, plus $500 free chip. Learn everything 인카지노 you need to know about this

    ReplyDelete