Wednesday, June 24, 2015

Ulasan Buku: Natrah - Cinta, Rusuhan, Air Mata oleh Fatini Yaacob

Mengulas dan menulis ulasan bagi buku yang menceritakan sejarah yang jarang-jarang diungkapkan di mana-mana media iaitu kisah duka cinta dua peradaban yang dinodai akibat kerakusan manusia atas nama agama pada seorang gadis Belanda bernama Nadra dan pemuda Melayu bernama Mansur Adabi, bukan suatu kerja yang mudah sebenarnya.

Pertama, pembacaan dan penghayatan kisah yang dipersembahkan oleh Fatini Yaacob persis sebuah fiksyen ini benar-benar merobek jiwa dan emosi sepanjangan, selaku manusia yang beriman bahawa maruah dan harga diri seseorang itu wajiblah dipertahankan, diutamakan lebih dari yang lain-lainnya. Manakan tidak, Fatini benar-benar berjaya membawa pembaca ke dunia Natrah sepanjang-panjang pembacaan buku ini.

Kedua, kisah ini, dukanya bukan hanya pada Natrah dan Mansur, bahkan pada seluruh orang Islam di seluruh dunia. Kecewanya bukan sekadar kecewanya Natrah yang kehilangan Mansur, atau Che Aminah yang kehilangan Natrah, tapi cerita ini menawarkan lebih dari sekadar itu. kisah duka ini bukan kisah peribadi milik Natrah, tapi kisah yang menjadi wakil pada hati dan perasaan seluruh umat Islam.

Menurut Fatini Yaacob, penulisan buku ini adalah kesinambungan daripada 4 bulan tulisan beliau mengenai Natrah dalam Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi 1986. Namun begitu, tulisan dalam majalah tersebut adalah berkonsepkan kajian yang berbentuk data dan bernuansa akademik. Setelah mendapat nasihat beberapa teman, beliau memutuskan untuk melanjutkan lagi usaha tersebut.

Lantaran itu timbul idea untuk diketengahkan kisah Natrah dalam bentuk buku yang mengguna pakai kaedah penyampaian kewartawanan kreatif. Justeru, pembaca dapat menyelami bagaimana kisah gadis Belanda ini secara imaginatif hasil dari tulisan Fatini yang cukup berkesan dan lenggok bahasanya yang halus, untuk benar-benar menterjemahkan krisis itu kepada pembaca untuk difahami.

Berbeza dengan buku-buku yang diterbitkan yang turut menceritakan perihal Natrah, sebagai contoh Tragedi Nadra tulisan Haja Maideen, yang lebih bersifat membentangkan kepada pembaca sebuah tulisan yang berstruktur, bersifat langsung, kajian yang lengkap dengan data dan tidak terlalu bermain dengan bahasa dan perasaan pembaca.

Oleh yang demikian, adalah sukar untuk menjelaskan kepada pembaca ulasan buku ini secara terperinci perihal bagaimana penceritaan Natrah oleh Fatini Yaacob berjaya mempengaruhi emosi dan perasaan pembaca, melainkan mereka sendiri membaca tulisan Fatini itu dan menghayatinya secara mendalam kisah tersebut secara langsung.

Namun begitu, ianya tidaklah menghalang dari menulis ulasan mengenai buku ini, antara lain diharapkan ianya boleh membantu sesiapa sahaja yang mula berhasrat untuk mengetahui dengan lebih lanjut kisah duka Natrah dan sejarah perjuangan yang penuh liku begini. Nasihat saya, untuk menghayati kisah ini, adalah sangat penting untuk tidak “lompat” babak-babak penceritaannya.

Fatini bermula dengan mengisahkan akan kelahiran Natrah atau nama asalnya, Maria Huberdina Hertogh di Bandung, Indonesia. Kelahiran Natrah tidak lama selepas itu bersambut dengan kemaraan tentera Jepun ke Kepulauan Melayu yang akhirnya menyebabkan Kolonial Belanda terpaksa berundur. Antara lain, akibatnya ayah Natrah sendiri dipenjarakan oleh tentera Jepun.

Natijah pergelutan hidup ini, akhirnya membawa Natrah kepada Che Aminah, yang menjadi ibu angkatnya. Dipendekkan cerita, mereka berdua balik ke Kemaman, Terengganu dan menjalani kehidupan di sana yang membahagiakan. Bahagia di sini, adalah ungkapan Natrah sendiri semasa diwawancarai oleh Fatini di Lake Thore, Amerika Syarikat di penghujung usianya.

Namun begitu, 3 tahun bahagia di Kemaman berakhir apabila bermulanya episod duka semenjak kewujudan Natrah mula menarik minat Arthur Locke, Pesuruhjaya British ketika itu. Episod ini terus bersambungan sehinggalah ke Singapura, yang berakhir dengan kekalahan Che Aminah dalam menuntut haknya dan rusuhan berdarah pada hari terakhir Natrah menatap wajah suaminya dan ibu angkatnya.

Penceritaan Fatini Yaacob yang menjadi berbeza dengan lain-lain buku perihal Natrah adalah, kejayaan penulis menemu bual Natrah secara langsung di penghujung usianya, juga penulis sendiri bertemu dengan suami Natrah sehari sebelum kematiannya, dan bertemu dengan ramai lagi individu-individu penting yang menjadi watak utama dalam kisah duka ini di Belanda dan United Kingdom.

Jadinya, boleh disifatkan bahawa, buku ini adalah tidak ternilai harganya, suatu usaha yang amat wajib dihargai oleh orang Islam terutamanya, yang telah bersusah payah penulis mengusahakannya, yang tidak akan kedapatan hasil yang sama pada lain-lain penulisan mengenai Natrah. Inilah yang menjadi pemisah yang jelas antara buku tulisan Fatini Yaacob ini dengan lain-lain buku perihal Natrah.

Tiada ulasan lain yang boleh diberikan lagi, selain dari gesaan kepada para pembaca dan seluruh rakyat Malaysia, agar segera mencari karya Fatini Yaacob ini, dan menelaahnya, menghayatinya, agar kita tidak sesekali lagi akan mengulangi silap dan salah yang dulu, belajar menghargai sejarah yang duka Tanah Melayu era 50-an ini, dan agar kita senantiasa siap bersiaga dalam mendepani cabaran musuh luar.

Ketahuilah bahawa, kisah Natrah ini bukan kisah peribadi milik mereka berdua, atau kisah milik keluarga Che Aminah cuma. Ianya kisah tentang kita. kisah perihal kita umat Islam. Ianya milik kita. sejarah ini wajib diulang sebar sepanjangan masa oleh generasi mendatang. Amatlah rugi, jikalau karya Fatini Yaacob ini dipandang sepi dan langsung tiada dikenali oleh generasi sekarang.

Disediakan oleh: Ahmad Tajuddin Abdullah (Pelajar Master - Kejuruteraan Sel Fuel)