Thursday, March 5, 2015

Pekeliling I: Kenali ‘Tidak Selain Buku’

Assalamualaikum...

+Tidak Selain Buku’ asalannya merupakan sebuah kumpulan anak muda jalanan yang bermimpi untuk membina kedai buku yang tersendiri, independent, mengikut selera sendiri dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitarnya.

Bermula dengan sembang-sembang di kedai kopi, sehinggalah akhirnya ke pertemuan-pertemuan mingguan yang memfokuskan pada aktiviti bedah buku, dan kini, ke fasa seterusnya, kumpulan jalanan ini terus bergerak untuk menggapai impian mereka – memiliki kedai buku persendirian.

Kini, kami bermula dengan misi dan visi yang jelas, lagi mulia – untuk memandaikan bangsa dan memupuk sikap rajin membaca dalam masyarakat. Rata-rata ahli kumpulan kami merupakan graduan lepasan UKM, juga termasuklah yang sedang menyambung ke peringkat sarjana.

Kami mempunyai impian. Dan kami percaya, hanya manusia yang punya mimpi dan impian sahaja – hidupnya adalah tidak sekadar untuk hidup. Justeru, kami nekad untuk berbuat sesuatu. Dengan itu, lahirlah ‘+Tidak Selain Buku’ sebagai manifestasi mimpi-mimpi itu.

+Tidak Selain Buku’ akan berkonsepkan kafe buku (book café), menyediakan tempat untuk sesiapa yang mahu menjual khazanah buku dalam perpustakaan peribadi mereka, juga tempat mengumpul dan menjual buku-buku terpakai dan nadir (rare) kepada yang berminat.

Setakat Pekeliling I ditulis, kami masih belum mempunyai tapak operasi (lokasi kedai) yang tetap. Buat masa ini, kami menumpukan usaha untuk mengumpul dan membeli buku-buku terpakai dari mana-mana pihak yang mahu menjualkannya.

Nantikan perkembangan lanjut kami, dari masa ke semasa.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment