Wednesday, June 24, 2015

Ulasan Buku: Natrah - Cinta, Rusuhan, Air Mata oleh Fatini Yaacob

Mengulas dan menulis ulasan bagi buku yang menceritakan sejarah yang jarang-jarang diungkapkan di mana-mana media iaitu kisah duka cinta dua peradaban yang dinodai akibat kerakusan manusia atas nama agama pada seorang gadis Belanda bernama Nadra dan pemuda Melayu bernama Mansur Adabi, bukan suatu kerja yang mudah sebenarnya.

Pertama, pembacaan dan penghayatan kisah yang dipersembahkan oleh Fatini Yaacob persis sebuah fiksyen ini benar-benar merobek jiwa dan emosi sepanjangan, selaku manusia yang beriman bahawa maruah dan harga diri seseorang itu wajiblah dipertahankan, diutamakan lebih dari yang lain-lainnya. Manakan tidak, Fatini benar-benar berjaya membawa pembaca ke dunia Natrah sepanjang-panjang pembacaan buku ini.

Kedua, kisah ini, dukanya bukan hanya pada Natrah dan Mansur, bahkan pada seluruh orang Islam di seluruh dunia. Kecewanya bukan sekadar kecewanya Natrah yang kehilangan Mansur, atau Che Aminah yang kehilangan Natrah, tapi cerita ini menawarkan lebih dari sekadar itu. kisah duka ini bukan kisah peribadi milik Natrah, tapi kisah yang menjadi wakil pada hati dan perasaan seluruh umat Islam.

Menurut Fatini Yaacob, penulisan buku ini adalah kesinambungan daripada 4 bulan tulisan beliau mengenai Natrah dalam Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi 1986. Namun begitu, tulisan dalam majalah tersebut adalah berkonsepkan kajian yang berbentuk data dan bernuansa akademik. Setelah mendapat nasihat beberapa teman, beliau memutuskan untuk melanjutkan lagi usaha tersebut.

Lantaran itu timbul idea untuk diketengahkan kisah Natrah dalam bentuk buku yang mengguna pakai kaedah penyampaian kewartawanan kreatif. Justeru, pembaca dapat menyelami bagaimana kisah gadis Belanda ini secara imaginatif hasil dari tulisan Fatini yang cukup berkesan dan lenggok bahasanya yang halus, untuk benar-benar menterjemahkan krisis itu kepada pembaca untuk difahami.

Berbeza dengan buku-buku yang diterbitkan yang turut menceritakan perihal Natrah, sebagai contoh Tragedi Nadra tulisan Haja Maideen, yang lebih bersifat membentangkan kepada pembaca sebuah tulisan yang berstruktur, bersifat langsung, kajian yang lengkap dengan data dan tidak terlalu bermain dengan bahasa dan perasaan pembaca.

Oleh yang demikian, adalah sukar untuk menjelaskan kepada pembaca ulasan buku ini secara terperinci perihal bagaimana penceritaan Natrah oleh Fatini Yaacob berjaya mempengaruhi emosi dan perasaan pembaca, melainkan mereka sendiri membaca tulisan Fatini itu dan menghayatinya secara mendalam kisah tersebut secara langsung.

Namun begitu, ianya tidaklah menghalang dari menulis ulasan mengenai buku ini, antara lain diharapkan ianya boleh membantu sesiapa sahaja yang mula berhasrat untuk mengetahui dengan lebih lanjut kisah duka Natrah dan sejarah perjuangan yang penuh liku begini. Nasihat saya, untuk menghayati kisah ini, adalah sangat penting untuk tidak “lompat” babak-babak penceritaannya.

Fatini bermula dengan mengisahkan akan kelahiran Natrah atau nama asalnya, Maria Huberdina Hertogh di Bandung, Indonesia. Kelahiran Natrah tidak lama selepas itu bersambut dengan kemaraan tentera Jepun ke Kepulauan Melayu yang akhirnya menyebabkan Kolonial Belanda terpaksa berundur. Antara lain, akibatnya ayah Natrah sendiri dipenjarakan oleh tentera Jepun.

Natijah pergelutan hidup ini, akhirnya membawa Natrah kepada Che Aminah, yang menjadi ibu angkatnya. Dipendekkan cerita, mereka berdua balik ke Kemaman, Terengganu dan menjalani kehidupan di sana yang membahagiakan. Bahagia di sini, adalah ungkapan Natrah sendiri semasa diwawancarai oleh Fatini di Lake Thore, Amerika Syarikat di penghujung usianya.

Namun begitu, 3 tahun bahagia di Kemaman berakhir apabila bermulanya episod duka semenjak kewujudan Natrah mula menarik minat Arthur Locke, Pesuruhjaya British ketika itu. Episod ini terus bersambungan sehinggalah ke Singapura, yang berakhir dengan kekalahan Che Aminah dalam menuntut haknya dan rusuhan berdarah pada hari terakhir Natrah menatap wajah suaminya dan ibu angkatnya.

Penceritaan Fatini Yaacob yang menjadi berbeza dengan lain-lain buku perihal Natrah adalah, kejayaan penulis menemu bual Natrah secara langsung di penghujung usianya, juga penulis sendiri bertemu dengan suami Natrah sehari sebelum kematiannya, dan bertemu dengan ramai lagi individu-individu penting yang menjadi watak utama dalam kisah duka ini di Belanda dan United Kingdom.

Jadinya, boleh disifatkan bahawa, buku ini adalah tidak ternilai harganya, suatu usaha yang amat wajib dihargai oleh orang Islam terutamanya, yang telah bersusah payah penulis mengusahakannya, yang tidak akan kedapatan hasil yang sama pada lain-lain penulisan mengenai Natrah. Inilah yang menjadi pemisah yang jelas antara buku tulisan Fatini Yaacob ini dengan lain-lain buku perihal Natrah.

Tiada ulasan lain yang boleh diberikan lagi, selain dari gesaan kepada para pembaca dan seluruh rakyat Malaysia, agar segera mencari karya Fatini Yaacob ini, dan menelaahnya, menghayatinya, agar kita tidak sesekali lagi akan mengulangi silap dan salah yang dulu, belajar menghargai sejarah yang duka Tanah Melayu era 50-an ini, dan agar kita senantiasa siap bersiaga dalam mendepani cabaran musuh luar.

Ketahuilah bahawa, kisah Natrah ini bukan kisah peribadi milik mereka berdua, atau kisah milik keluarga Che Aminah cuma. Ianya kisah tentang kita. kisah perihal kita umat Islam. Ianya milik kita. sejarah ini wajib diulang sebar sepanjangan masa oleh generasi mendatang. Amatlah rugi, jikalau karya Fatini Yaacob ini dipandang sepi dan langsung tiada dikenali oleh generasi sekarang.

Disediakan oleh: Ahmad Tajuddin Abdullah (Pelajar Master - Kejuruteraan Sel Fuel)

Saturday, May 9, 2015

Ulasan Buku: Anugerah Islam Untuk Ketamadunan oleh Dr. Muhammad Imarah

Kalau anda ingin membina kembali Tamadun Islam yang hilang, inilah buku pertama yang wajib anda baca. Mungkin itu komentar yang saya mampu berikan selepas menghabiskan bacaan buku Anugerah Islam Untuk Ketamadunan, sebuah terjemahan kepada kitab العطاء الحضاري للإسلام karya Dr. Muhammad Imarah, seorang tokoh pemikir Muslim dari Mesir.

Memulakan perbincangan berkaitan Al-Quran sebagai teras dalam pembangunan tamadun Islam, Dr. Muhammad Imarah menyebut Al-Quran yang diturunkan telah membawa kelahiran baru kepada umat Islam. Benar, wahyu yang sampai kepada Baginda Nabi SAW adalah titik tolak penting dalam pembinaan sebuah tamadun umat manusia yang gemilang.

Ramadan yang menjadi bulan pilihan, apatah lagi Lailatulqadar yang menjadi malam pilihan untuk diturunkan Al-Quran sudah pasti menjadi lebih istimewa. Penulis berjaya mengungkap satu falsafah penting berkaitan Ramadhan sebagai perayaan yang benar-benar harus diraikan oleh umat Islam, iaitu hari kelahiran semula umat.

Mukadimah seperti ini telah memberikan kesedaran bahawa kegemilangan Islam yang pernah di kecapi suatu ketika dahulu bukanlah hanya bersandarkan kepada kudrat dan akal manusia semata-mata, namun di dalamnya terkandung kuasa lain yang jauh lebih besar mengatur dan mentadbir alam ini agar hidup dan terus berkembang.

Inilah asas kepada buku ini dalam beberapa bab yang terkemudian yang membicarakan dalam apa-apa tema sekalipun, termasuklah, Hak Asasi Manusia, Kebebasan, Politik, Ilmu Pengetahuan, Model Masyarakat ia adalah gabung jalin di antara akal dan iradah manusia serta kekuasaan langit yang hanya menjadi kepercayaan orang beriman.

Di sinilah letaknya titik tolak wasatiyyah (kesederhanaan), manusia tidak diberikan kuasa mutlak untuk menguruskan dunia seperti faham barat anuti, namun manusia hanyalah bertindak sebagai khalifah (wakil) Tuhan yang perlu melunaskan tanggungjawab ini dalam kerangka Tauhid yang sebenar.

Wasatiyyah ini juga menjadi keseimbangan kepada kita dalam menguruskan duniawi dan ukhrawi, urusan agama dan dunia, pemerintah dan rakyat, umat dan negara, manusia dan alam tabii, hak dan kekuatan, benda dan roh, wahyu Ilahi dan kreativiti manusia. Wasatiyyah inilah nilai yang tinggi dalam ketamadunan kita. Penulis juga dalam buku ini telah memberikan pencerahan terhadap salah faham barat dan umat terhadap ketamadunan Islam.

Dalam isu Hak Asasi Manusia sebagai contoh, Islam terlebih dahulu menggagas HAM ini bahkan Islam telah mengangkat tema ini lebih daripada sekadar hak, tetapi menjadi tanggungjawab (taklif) kepada umat manusia untuk menjaga agama, diri, akal, harta dan maruah.

Dalam tema kebebasan pula, manusia tidak punya kuasa yang mutlak namun tidaklah beerti bahawa manusia ditentukan urus tadbirnya melainkan kuasa itu telah diberikan kepada kita semua untuk kita menentukan jalan hidup kita sebagaimana yang diperintah. Inilah beza cara faham ketamadunan kita dibandingkan Barat yang meletakkan sepenuh kekuasaan manusia tanpa batas.

Akhirnya, hanya mengundang kemusnahan kepada alam dan dunia. Tema pluralisme juga adalah salah satu tema yang penting dalam buku ini. Tanpa menafikan kepelbagaian agama dan bangsa ini adalah kekayaan khazanah di atas muka bumi ini, ia juga menampilkan kekayaan kekuasaan Allah SWT dalam mencipta alam ini. Pluralisme dalam agama ini diungkapkan oleh penulis sebagai “Kesatuan besar kerana kepelbagaiannya, namun tetap berbeza dengan doktrin masing-masing.

Justeru, kehidupan kita adalah ibarat satu keluarga walaupun berbeza agama dan bangsa, dan kelestarian ini mestilah dipelihara dengan sebaiknya di bawah konsep kesederhanaan (wasatiyyah) dalam agama kita. Dalam dunia yang manusia sedang berkembang dengan budaya dan ketamadunan yang pelbagai, penulis telah memperkenalkan dua tema penting dalam ketamadunan Islam iaitu interaksi antara tamadun (Al-Tafa’ul Hadhari) dan perimbangan dan pengawasan tamadun (Al-Tadafu’ Hadhari).

Penulis faham akan keperluan dialog di antara tamadun, dalam masa yang sama umat harus berfikiran terbuka untuk menerima sesuatu yang baru daripada luar kerana keadaan semasa yang sentiasa berubah. Namun, kita mempunyai tanggungjawab untuk menyaring agar ia selari dengan pemikiran Islam. Ini hanyalah segelintir perkara yang penting sempat untuk dicoretkan.

Hakikatnya, buku ini terlalu banyak perkara yang datang dengan sifat yang mencerahkan dan menyegarkan daripada kebiasaan cara fikir biasa umat. Buku ini pasti akan menjentik akal para pembaca dengan kepercayaan kepada karamah insaniyyah selain fungsi akal yang tinggi dalam Islam sebagai alat untuk mencari kebenaran.

Buku ini adalah buku yang wajib dibaca oleh seluruh lapisan masyarakat, khususnya anak muda dan mahasiswa yang memasang mimpi untuk melihat ketamadunan Islam kembali bergemerlapan di atas dunia hari ini. Buku ini menjadi dorongan kepada saya untuk menyusun semula puzzle kekuatan Islam dan disatukan untuk menjadi sebuah tamadun yang cemerlang dan gemilang.

Semoga Allah memberkati usaha penulis hafizahullah

Disediakan oleh:

Muhamad Azan Safar (Graduan Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah)

Tuesday, April 21, 2015

Ulasan Buku: Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam oleh Abu Hasan Ali An-Nadwi

Semua manusia di dunia hari ini mengidamkan sebuah kedamaian, hidup yang tenteram dan sejahtera. Bukan hanya dalam kehidupan personal kita malah dunia keseluruhannya. An-Nadwi berjaya menzahirkan bukan mustahil untuk kita perolehi kerana ia seakan sudah dirasai oleh masyarakat sewaktu era kepimpinan Nabi dan Khulafa Al-Rasyidin.

Sejauh mana kebenarannya haruslah diteliti dalam pengkajian sejarah. Namun buku yang bertajuk Kerugian Dunia Karena Kemunduran Islam atau dalam judul asalnya ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين (Maza Khasiral Alam be Inhitat al-Muslimeen)  telah mengaitkan keamanan dan kemuncak kedamaian hidup yang dicari umat pada ketika itu hanya tercapai apabila Islam berada di tampuk kepimpinan dunia.

Nah, idealistik bukan? Tapi sekurangnya An-Nadwi telah melontarkan gagasan idea yang besar ini beserta jalan untuk merealisasikannya. An-Nadwi memulakan buku ini dengan menyorot secara ringkas apakah yang telah terjadi kepada dunia dalam period masa sewaktu ketiadaan Nabi di atas muka bumi ini. Tiada nabi, tauhid pasti goyah. Justeru, tanpa tauhid, amannya dunia belum tentu, tapi bobroknya dunia, itu pasti.

Tamadun Rom dan Parsi sebagai dua kerajaan yang gagah berdiri di era tersebut telah berjaya ditelanjangi oleh An-Nadwi perihal kerosakan dan bobroknya intisari tamadun dan kehidupan mereka. Lebih mengujakan, bukan hanya sekadar Rom dan Parsi, An-Nadwi telah mengumpulkan keadaan hampir setiap benua dan bangsa sebelum kehadiran Islam. Tiada yang indah, semuanya suram. Kelam dan menyakitkan.

Namun semuanya sudah berbeza dengan kemunculan sosok mulia yang diberi nama Muhammad. Bahagian seterusnya buku ini memperihalkan tugas yang dilakukan Muhammad dalam mengubah manusia adalah perkara yang luar biasa. Karakter jahiliyyah yang sudah sebati dengan jiwa umat selama berates-ratus tahun berjaya dileraikan Muhammad dengan kekuatan risalah tauhid dalam tempoh yang singkat.

Beberapa Abad yang diberikan kepada Islam untuk memimpin dunia sudah cukup untuk memugar rasa rindu umat untuk menanti kedamaian seperti itu muncul kembali di zaman ini. Allah Berfirman Dalam Surah Al-Imran, Ayat 140:

وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُهَدَآءَۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّٰلِمِينَ ١٤٠ 
“…..demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”

Manusia yang meninggalkan Islam akan tercabut keizzahannya. Itu yang kita semua tahu. Dan kerana itu jugalah Islam jatuh dari kepimpinan dunia sebelum diambil alih oleh tamadun yang berdiri megah pada hari ini iaitu Eropah.

Apabila umat mula meninggalkan perbahasan ilmu alam dan lebih gemar kepada permasalahan khilafiah selain pintu ijtihad yang telah dikunci rapat, maka evolusi dalam keilmuan yang terhenti tidak lagi mampu mengangkat Islam sebagai pemegang kunci ketamadunan dunia. Ya, Islam dan keilmuan, itu kuncinya.

Di sini An-Nadwi mula menghamburkan kritikannya kepada Ketamadunan Eropah. Kemiskinan rohaniah dan spiritualiti di kalangan Tamadun Rom dan Yunani yang menjadi asas kepada ketamadunan Eropah meletakkan Eropah berkiblatkan kepada tuhan yang baru di zaman moden ini iaitu Materialisme.

Selain itu juga, mereka kembali mengibarkan semangat nasionalisme dengan pemahaman yang baru tetapi sempit. Akhirnya, tanpa rohaniah dan keagamaan yang utuh akhirnya menjadikan Eropah membangun dalam kesakitan yang melarat .

Kecanggihan dan kecepatan mereka dalam teknologi maklumat pula bukan menjadi satu jambatan untuk mereka bertemu tuhan bahkan telah menjadikan mereka merasakan mempunyai kuasa seperti tuhan yang akhirnya merosakkan mereka dan umat.

Impak materialisme dan nasionalisme yang mendukung ketamadunan mereka menjadikan mereka tersalah dalam menanggapi tujuan kehidupan selain agama Kristian yang dianuti mereka tidak lebih sebagai sandaran ritual dan bukan sebuah penghayatan dalam kehidupan.

Maka umat sekali lagi sakit dengan dunia yang menghalalkan pencerobohan, peperangan, penindasan di atas nama nasionalisme yang bersendikan materialisme. Dunia kembali parah dan dunia sekali lagi menantikan spirit Muhammad untuk menyelamatkan mereka dan di situ lah An-Nadwi memberikan saranan supaya kepimpinan Islam mesti dikembalikan.

Keilmuan Islam mesti disuburkan dengan pelbagai metode baru yang ilmiah dengan kritikan-kritikan yang bersandarkan kepada keislaman dan keimanan. Umat mesti bangun dengan Islam dan tidak lagi bergantung kepada dunia barat walaupun sedikit. Walaupun kita memerlukan suatu perbahasan lain dalam membahaskan perkara ini supaya namun An-Nadwi akhirnya berjaya menzahirkan kepada umat dunia tanpa Kepimpinan Islam membuatkan dunia menangis dan sakit menanti saat kematiannya.

Cuma alangkah indah bagi saya secara peribadi kalau An-Nadwi di akhir sekali dalam buku ini tidak hanya menanggapi bahawa Arab lah yang sewajarnya memegang panji perubahan ini malah ia adalah tanggungjawab kepemudaan Islam di seluruh dunia.

Alangkah indahnya juga sekiranya, An-Nadwi di dalam hayatnya sempat untuk membahaskan satu tajuk perihal islamisasi dalam keilmuan dan ketamadunan hari ini yang tidak secara mudah kita diajak untuk meninggalkan barat dan membina tapak keilmuan kita yang tersendiri. Namun, saya tahu tanggungjawab saya untuk menggali sendiri khazanah yang tersimpan itu.

Semoga Allah memberkati ruh Almarhum.

Disediakan oleh: 

Muhamad Azan Safar (Graduan Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah)