Showing posts with label Pekeliling. Show all posts
Showing posts with label Pekeliling. Show all posts

Friday, March 6, 2015

Pekeliling II: Bantu Kami Untuk Berkembang

Café Buku '+Tidak Selain Buku' kini dalam Fasa I. Kami baru bermula setelah beberapa siri perbincangan diadakan.

Tentu langkah pertama, adalah membeli dan mengumpul buku-buku terpakai dan nadir (rare), yang merangkumi beberapa subjek dan genre. Pemfokusan kami adalah dalam genre sejarah, kesenian, falsafah, agama, kesusasteraan, ketamadunan, buku kanak-kanak, juga bahan percetakan yang unik serta buku-buku “rare”.

Café Buku ‘+Tidak Selain Buku’ membeli, menjual, dan mentaksir-nilai buku-buku lama, autograf, foto-foto bersejarah, bahan bercetak, dan apa sahaja bentuk karya seni asli.

Kami berminat untuk membeli apa-apa sahaja yang termasuk dalam kategori di atas, bermula dari sebuah buku sehinggalah kepada keseluruhan isi perpustakaan peribadi tuan-tuan sekalian, juga apa sahaja yang wujudnya di zaman moden sehinggalah ke zaman klasik seawal Socrates dulunya.

Pernah terdetik untuk mengosongkan rak-rak buku milik tuan-tuan semua? Ada sebarang hajat untuk menjual khazanah buku-buku lama milik tuan-tuan semua? Tuan-tuan boleh membantu kami berkembang dengan menjualkannya kepada kami.

Ini bukan tawaran main-main. Kami bersedia membuat lawatan ke rumah dan perpustakaan tuan-tuan semua secara percuma, meliputi seluruh negeri di Semenanjung (termasuklah Sabah & Sarawak!).

Kami bersedia dan bermurah hati memberi tawaran harga yang berpatutan dan menguruskan hal-hal teknikal mengenai proses pengeluaran dan penghantaran seluruhnya.

Kami juga menerima dan membeli sebarang barangan yang disebut di atas yang dibawa ke kedai kami semasa waktu pejabat (sila hubungi terlebih dahulu wakil kami jika tuan-tuan ingin membuat sebarang pertemuan dan tawaran).

Kami sangat berbesar hati untuk menerima tawaran itu!

Terima kasih.

Thursday, March 5, 2015

Pekeliling I: Kenali ‘Tidak Selain Buku’

Assalamualaikum...

‘+Tidak Selain Buku’ asalannya merupakan sebuah kumpulan anak muda jalanan yang bermimpi untuk membina kedai buku yang tersendiri, independent, mengikut selera sendiri dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitarnya.

Bermula dengan sembang-sembang di kedai kopi, sehinggalah akhirnya ke pertemuan-pertemuan mingguan yang memfokuskan pada aktiviti bedah buku, dan kini, ke fasa seterusnya, kumpulan jalanan ini terus bergerak untuk menggapai impian mereka – memiliki kedai buku persendirian.

Kini, kami bermula dengan misi dan visi yang jelas, lagi mulia – untuk memandaikan bangsa dan memupuk sikap rajin membaca dalam masyarakat. Rata-rata ahli kumpulan kami merupakan graduan lepasan UKM, juga termasuklah yang sedang menyambung ke peringkat sarjana.

Kami mempunyai impian. Dan kami percaya, hanya manusia yang punya mimpi dan impian sahaja – hidupnya adalah tidak sekadar untuk hidup. Justeru, kami nekad untuk berbuat sesuatu. Dengan itu, lahirlah ‘+Tidak Selain Buku’ sebagai manifestasi mimpi-mimpi itu.

‘+Tidak Selain Buku’ akan berkonsepkan kafe buku (book café), menyediakan tempat untuk sesiapa yang mahu menjual khazanah buku dalam perpustakaan peribadi mereka, juga tempat mengumpul dan menjual buku-buku terpakai dan nadir (rare) kepada yang berminat.

Setakat Pekeliling I ditulis, kami masih belum mempunyai tapak operasi (lokasi kedai) yang tetap. Buat masa ini, kami menumpukan usaha untuk mengumpul dan membeli buku-buku terpakai dari mana-mana pihak yang mahu menjualkannya.

Nantikan perkembangan lanjut kami, dari masa ke semasa.

Terima kasih.