Thursday, March 12, 2015

Ulasan Buku: Masharakat Melawan Mahasiswa oleh Zul Fikri Zamir

Penentangan sang penulis dalam buku ketiganya ini, bukan bersifat penentangan peribadi yang semborono, syok sendiri - tetapi, penentangan yang dicoret adalah tentang sikap ketidakpedulian sesetengah kumpulan dalam masyarakat yang diberi gelar dan sanjungan tertentu: mahasiswa dan arjuna penguasa. Mahasiswa cukup lena dengan pujian yang melambung pada mereka, mendabik dada seolah-olah mendapat gelar sebegitu.

Ini mengingatkan kita pada kecaman José Ortega y Gasset dalam buku monumentalnya, The Revolt of the Masses bahawa manusia ini (yang disifatkan sebagai manusia lambak) gemar sekali mendakwa bahawa segala kemajuan teknologi dan kecemerlangan masa kini adalah usaha mereka, penat lelah mereka, sedang mereka ini lupa akan jasa orang terdahulu, mereka bodoh tentang sejarah, mereka tidak mengerta soal nilai dan peradaban, mereka senyum dalam dunia khayalan mereka sendiri.

Itulah mahasiswa masa kini, sepertimana yang digambarkan oleh Ortega, sang penulis juga menggambarkan secara tersirat mahasiswa kini persis begitu. Jadi, bagaimana untuk mengubati penyakit begini? Jawab penulis, tiada lain adalah dengan golongan itu sendiri sedar akan kedudukan mereka.

Mereka perlu diketuk kembali agar tersedar dari mimpi indah mereka, tentang bagaimana sikap mereka waktu kini akan menjadi penentu nasib masa depan anak bangsa, tentang pilihan-pilihan mereka waktu sekarang menjadi titik ukur kepada kemandirian cita-cita perubahan negara sekaliannya. Ia tidak susah, bahkan penulis sendiri membuktikan bahawa, perubahan boleh direncana, bukan menanti disuap.

Penulis menghimpunkan nota-nota seputar gerakan-gerakan aktivisme beliau - pada hemat pembaca, ceroten-coretan tentang TFTN dan sebagainya itu bukanlah bertujuan untuk membesar diri dan sebagai lesen untuk mendapat kunci syurga, akan tetapi itulah peringatan kepada mahasiswa bahawa untuk menjadi manusia, untuk memaknai hakiat kehidupan, mereka perlu bersikap. Mereka harus bangun dan berbuat sesuatu. Mereka yang sepi membantu, pada penulis, tidak ubah seumpama kambing bebiri yang diternak.

Jadinya, persoalan timbul. Adakah buku ini menawarkan jawapan, kalau tidak pun solusi pada masalah yang disebut? Tidak, jika kita berkehendak pada jawapan yang berbentuk langsung. Namun, jawapannya ditulis oleh sang penulis seawal mukasurat yang pertama lagi secara tersirat: bahawa kita perlu sedar dan bersikap. Moga buku ini memercikkan sinar kesedaran kepada pembaca.

Disediakan oleh:
  1. Ahmad Tajuddin Abdullah (Pelajar Master - Kejuruteraan Sel Fuel)

No comments:

Post a Comment