Saturday, April 4, 2015

Ulasan Buku: Aku Kafir, Kau Siapa oleh Ooi Kok Hin

"Aku Kafir, Kau Siapa" merupakan tulisan pertama Ooi Kok Hin yang dibukukan, telah berjaya mengajak saya percaya semula, bahawa masih ada harapan untuk Malaysia Baru yang lebih maju dari semua aspek dilahirkan, dan rasa percaya itu hanya boleh berlaku jika generasi yang akan datang (semua kaum) sedar dan mempunyai semangat untuk membangunkan Malaysia seperti yang diimpikan.

Saya seorang Melayu, apabila membaca buku yang ditulis oleh seorang Cina, yang tema-tema perbincangannya kedengaran cukup klise – tentang hubungan antara kaum, keharmonian agama, kepelbagaian budaya, isu-isu sensitif, tentu sekali ianya berjaya memanggil saya untuk bertanya banyak soalan lantaran, selama ini seorang Melayu itu sering kali merasa bimbang jika bertanyakan sebegitu rupa.

Membacanya, kita boleh mendengar luahan perasaan kaum minoriti di Malaysia – ini pun masih boleh dipersoalkan, sejauh mana minoritinya Cina di Malaysia dan dari konteks mana yang dikatakan minoriti? Akan tetapi, pengalaman dan keperitan yang diceritakan oleh Ooi perihal kaum minoriti dan ketidakadilan itu, memang langsung tidak dapat diendahkan kebenarannya.

Kerana, bukan Ooi sahaja berdepan dengan situasi sedemikian, bahkan ramai juga kawan-kawan Melayu yang sedar betapa tidak adilnya apabila rakan Cina mereka yang nyata jauh lebih cemerlang dinafikan hak untuk mendapatkan peluang yang sama rata dalam sistem pendidikan kita. Itu belum lagi kita bercakap soal bantuan kewangan dan biasiswa oleh badan-badan kerajaan.

Penulis menyifatkan sistem pendidikan kita sebagai “messy”, dan apakah kita boleh menafikan hakikat itu? Tidak sama sekali. Semua akur akan realiti ini. Bermula dari serendah-rendah tahap pendidikan, sehinggalah kepada setinggi-tinggi pengajian universiti, sistem kita amatlah berserabut seolah-olah tidak bersistem. Entah apa yang diimpikan oleh para penguasa negara dengan sistem pendidikan sebegini, kita pun kepeningan.

Apatah lagi mahu berbicara dari sistem yang berserabut ini, soal kesepaduan dan keharmonian kaum, soal jambatan integrasi dan adaptasi, sudah tentulah bicara-bicara itu tidak lebih sifatnya angan-angan Mat Jenin. Ooi ada juga mengutarakan beberapa cadangan, yang difikirkan mampu mengubati permasalahan ini. Namun yang demikian, harus kita insafi bahawa, pendidikan bukanlah sebuah sistem “try and error” kerana kesan kesilapannya adalah dahsyat.

Itulah falasi yang cuba diberitahu oleh Ooi secara tersirat, bahawa pendidikan yang sewajarnya menjadi tempat bercambahnya kemanusiaan, tapi kini tidak ubah menjadi alatan untuk menekan dan menindas sesuatu pihak oleh pihak yang lain. Ditakdirkan saya juga sebagai Cina, pasti saya akan berkongsi ketidakpuasan hati yang sama, terutamanya pada polisi negara yang warna kulit dan kepercayaan itu menjadi premis utama.

Seorang manusia, kemanusiaanlah yang akan memandu jiwa mereka untuk tunduk pada makna keadilan, untuk berkongsi rasa sengsara itu, walaupun kita semua tahu bahawa sistem sekarang banyaknya merupakan warisan dari sistem penjajah dulunya lagi. Malangnya, generasi pasca-merdeka masih tetap menanggung biawak hidup, bahkan mereka yang menerajui kerusi kepimpinan sekarang pun seolah-olah mahu terus menyambung legasi yang ditinggalkan penjajah.

Maka, bagi Ooi, proses perubahan dan perkembangan pada sistem-sistem yang lapuk semestinya berlaku jika Malaysia mahu bergerak menjadi sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang terbilang, seiring dengan kemajuan zaman dan peradaban. Maka, pada saya, kritikan Ooi walaupun bunyinya klise, tetap bermakna dan relevan untuk terus diperpanjang agar persoalan-persoalan yang mencabar status quo tidak mati.

Ooi membahagikan tulisannya kepada 3 bahagian, iaitu pendidikan, agama dan kebebasan, dan politik. Nasib yang agak baik apabila membaca buku ini, kerana tulisan-tulisan Ooi bukan jenis kitar semula dari terbitan artikelnya di mana-mana portal berita sebelum ini. Saya berharap, saya tidak silap dalam membuat andaian ini. Maklumlah, sudah menjadi tabiat penulis di Malaysia begitu gemar ulang cetak artikel dalam portal berita menjadi sebuah buku. Alangkah mudahnya menjadi penulis!

Tapi tidak bagi Ooi, maka oleh yang demikian, tahniah dan terima kasih.

Saya menggemari tulisan Ooi kerana, seperti pada awal ulasan ini nyatakan, tulisan penulis muda ini bersifat berani dan tidak malu-malu kucing. Beliau tidak takut untuk bertanyakan soalan-soalan yang mencabar status quo. Tentang mengapa beliau tidak percaya pada agama yang berpegang pada teks-teks sakral, pada hujahnya yang mengatakan bahawa Islam dan Kristian itu masih belum mampu memberi keyakinan bahawa Tuhan itu wujud, tentang teori evolusi yang baginya lebih meyakinkan.

Soalan-soalan begini, pada rata-rata umut Islam, mereka bimbang untuk bertanya. Mereka merasa takut jika ditohmah sudah terkeluar dari agama. Apatah lagi, untuk mengutarakan persoalan lainnya seperti LGBT dan hak-hak mereka sebagai manusia yang juga dilahirkan merdeka, bunyinya pun sudah cukup taboo untuk golongan beragama. Jadi, hemat saya, buku ini berani untuk mengajak kita mempersoalkan kembali perkara yang sifatnya status quo, eksklusif – atau dibuat-buat eksklusif oleh pihak pemerintah.

Juga beliau persoalkan perihal sistem perundangan negara ini yang sifatnya kembar, satu syariah dan satu sivil. Yang mana supreme jika mereka berdua bertembung? Soalan ini menggamit akal kita untuk berfikir dengan lanjut. Juga hal kajian perbandingan beliau antara Malaysia dan konteks Indonesia dari sudut perpaduan nasional. Cadangan beliau tentang dialog silang-budaya, ini membahagiakan! Inilah soalan-soalan berbentuk realiti yang wajar kita tanyakan saban waktu, supaya kita bersedia untuk mendepani perubahan zaman dan generasi pada masa mendatang tanpa perlu risaukan kesan kerosakan yang dahsyat.

Hal begini sifatnya kritikal, kerana jikalau kita gagal untuk bertanya akan perkara begini pada waktu sekarang, bagaimana untuk kita membuat antisipasi masa depan anak bangsa Malaysia pada masa mendatang? Kita ini terkenal dengan perangai takut untuk mendepani realiti. Realitinya, ramai yang merasa ragu pada satu dua perkara yang kononnya sensitif, tapi ramai mana yang berani untuk mempersoalkannya dengan terbuka seperti Ooi?

Namun yang demikian, sebagai seorang Muslim, tentu sekali saya mahu mengajak saudara Ooi untuk turut mengkaji tentang Islam, membaca teks turath Islami yang jauh lebih mendalam makna dan filsufnya berbanding tulisan-tulisan kontang zaman kontemporari. Mungkin yang demikian, Ooi mampu menemui apa yang dicarinya – yang disifatkan beliau untuk terus mencari sehingga bertemu satu titik kepastian.

Moga saudara Ooi terus menulis. Moga tulisan yang pertama untuk yang banyak lagi seterusnya, bukan yang terakhir. Pada Ooi yang mempersoalkan banyak hal, terima kasih kerana itulah sikap yang wajar kita semua contohi – berani bersoal pada kepercayaan lapuk, berani melawat semula hal-hal yang sensitif, dan berani membantah pada hal status quo yang dibuat-buat.

Disediakan oleh:
  1. Sarimah Abdullah (Mahasiswa Tahun 3 - Kejuruteraan Mekanikal)

Saturday, March 28, 2015

Ulasan Buku: Mitos Peribumi Malas oleh Syed Hussein Alatas

Teruja melihat tajuk karya monumental Syed Hussein Alatas ini membuatkan saya menyahut cabaran rakan-rakan untuk membedah karya setebal hampir 300 muka surat ini. Perasaan yang bermain dalam fikiran saya sebelum membaca buku ini ialah rasa lemah bergelar seorang Melayu di bumi bersejarah yang sentiasa mekar dengan semangat perkauman.

Namun, membaca dan meneliti serta menanggapi karya agung tulisan sarjana terkemuka seperti Syed Hussein Alatas membuatkan seolah-olah saya terpujuk dan buku ini membuatkan seolah-olah saya sedang berdialog dengan sang penulis walau Syed Hussein sudah kembali ke rahmatullah sedari 8 tahun lalu pada usia beliau 78 tahun.

Saya akui sedikit terkilan kerana menangguhkan pembacaan ini sehingga tidak berkesempatan menemui sang oksidentalis ini dan bertanya lebih lanjut huraian yang dimaksudkan beliau. Kupasan ini sebenarnya lebih kepada pemahaman saya selaku pembaca kerdil karya magnum opus Syed Hussien yang setanding dengan karya mendiang Edward Said, sarjana Palestin iaitu “The Orientalism”.

Lantaran ilmu yang terbatas untuk mentafsir setiap kosa kata akademik yang tinggi dalam makalah ini maka pemahaman saya juga dikira sangat terbatas. Penulisan yang mengambil masa yang panjang untuk disiapkan iaitu hampir 7 tahun akhirnya berjaya diterbitkan pada tahun 1977 dalam edisi bahasa Inggeris yang mengguna pakai tajuk “The Myth of Lazy Native”.

Karya ini sememangnya sebuah penulisan ilmiah dalam bidang sosiologi pada asalnya sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh Ahmad Rofie pada tahun 1987 dan diubah suai ke bahasa Malaysia oleh DBP hasil suntingan Zainab Kassim 2 tahun selepas Ahmad Rofie.

Syed Hussien yang merupakan pengkaji wacana oksidentalisme iaitu memahami Barat dengan menguasai ilmu-ilmu mereka serta mencabar kesarjanaan sedia ada telah membuktikan perkara tersebut dengan makalah ini menerusi penulisan yang mengguna pakai pendekatan sosiologi pengetahuan untuk mengkaji citra kolonial dan fungsinya dalam penyebaran mitos yang telah dijadikan sistem anutan penulis-penulis Barat dalam menanggapi masyarakat peribumi terutamanya Melayu.

Terdapat juga pendapat yang bersetuju bahawa buku ini adalah satu ‘counter argument’ kepada buku karangan Stamford Raffles yang bertajuk ‘The Lazy Native’. Beralih kepada persoalan pokok tujuan buku ini, Syed Hussein menulis bahawa wujudnya keperluan suatu usaha untuk membetuli pandangan kolonial yang bias tentang masyarakat peribumi Asia yang merangkumi penduduk di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Syed Hussein juga berpendapat sudah tiba masanya suatu hasil penulisan yang cermat yang mengandungi hujah yang komprehensif bukannya bersifat dangkal untuk menanggalkan semua stereotaip yang dilempar ke atas kaum peribumi yang lemah ketika itu. Kelemahan ini telah diperluaskan lagi oleh ideologi kolonial untuk menutup moral dan peradaban yang dicapai sebelumnya. Sementelah juga untuk menjengah ke dalam aspek negatif kolonial yang terpalit jelas pada imej pemerintahan mereka semasa era penjajahan berlaku.

Dalam buku ini, penulis membina beberapa konsep sosiologi untuk mendefinisikan fenomena yang berlaku ketika itu. Mengungkap doktrin yang berkembang luas dalam kalangan peribumi, maka Syed Hussein telah membawa konsep ideologi kolonial. Konsep kolonial kapitalisme dibentuk untuk menjelaskan beza antara kapitalisme Barat dengan kapitalisme yang dibawa masuk oleh kolonialis yang telah membawa perubahan yang banyak sekali dalam struktur peribumi dari aspek monopoli dan dominasi ke atas penduduk peribumi.

Selain itu, konsep ‘captive mind’ atau minda tertawan juga diperkenalkan yang merujuk kepada sikap kaum elit Melayu pada masa tersebut yang terasimilasi dengan budaya dan cara pemikiran yang dibentuk Barat sehingga melupakan aspirasi kaum masyarakat serta konsep ‘malas’ yang diberi makna yang sederhana yang sesuai dengan maksud pandangan emik (native’s viewpoint) masyarakat tempatan.

Syed Hussein banyak sekali mengkritik perubahan negatif yang dibawa masuk oleh penjajah antaranya telah mengubah tata feudal kepada nada yang kurang sifat perkauman namun telah meninggikan status sosial kaum penjajah kulit putih yang mana telah membentuk satu penyusunan stratifikasi sosial atau kasta sosial dalam masyarakat yang harmoni sebelum daripada itu.

Ini bertentangan dengan kolonial yang berlaku di Eropah di mana kekuatan feudalisme rosak sama sekali dan menjadikan masyakat di sana lebih bersifat ‘laissez faire’ dalam sistem pemerintahan, ekonomi dan undang-undang. Hasilnya, sifat masyarakat Asia Tenggara yang relatif statik (ekonomi, pendidikan dll.) adalah akibat penjajahan Barat telah meratah sifat perbauran yang wujud sebelumnya hasil interaksi antara agama dan kebudayaan yang diterima orang Asia sebelum pada itu sehingga mewujudkan interaksi antarabangsa (Arab, Cina, India, Parsi dll.) di luar lingkungan hubungan kolonial.

Istilah malas atau dalam definisi oleh Jose Rizal iaitu little love for work and lack of activity yang menjadi topik utama dibahaskan dengan panjang lebar oleh penulis. Masyarakat Melayu yang digelar ‘fatalis’ iaitu berserah pada takdir tanpa mahu berusaha serta secara keliru telah mendakwa pemikiran atau unjuran Islam yang membentuk pemikiran ‘rezeki secupak tidak boleh segantang’.

Beliau merangkumkan bahawa malas yang didakwa ke atas masyarakat peribumi itu sebenarnya tidak sah untuk digeneralisasikan ke atas semua secara borong hingga mengundang rasa skeptis dan stereotaip yang menjadi penghalang hubungan harmoni antara kaum sehingga kini. Hakikatnya, malas yang dilemparkan ke atas masyarakat peribumi adalah kerana penolakan untuk bekerja sebagai buruh di ladang hingga Barat terpaksa mengimport imigran Cina dari Tanah Besar dan imigran India dari sana untuk menjadi buruh kasar Barat.

Tuduhan ini sama sekali tidak berasas dan puncanya juga kabur, adakah penolakan untuk bekerja di bawah penjajah kerana sudah terbiasa bekerja sendiri menjadi nelayan, petani, pemilik tanah yang meski sempit namun bebas dikira malas? Dan sikap serakah terhadap wang yang sama sekali tidak terdapat dalam kalangan peribumi juga dianggap pemalas? Sedangkan penolakan itu tujuannya ialah kerana tidak mahu diperalati untuk memperkayakan kolonialis di samping ketekunan atau kerajinan itu disamakan dengan keserakahan, maka peribumi perlu tunduk?

Syed Hussein mendapati amat sulit untuk menggelar peribumi sebagai malas disebabkan keengganan sama sekali bukan malas serta ditambah dengan faktor kedudukan dalam politik, ekonomi dan pentadbiran kolonial telah menghalang berlakunya mobiliti peribumi. Buku yang mempunyai 12 bab membincangkan satu persatu hujah-hujah kajian yang sama sekali tidak sesuai dengan analisisnya.

Pengkaji-pengkaji yang menulis sejarah serta citra masyarakat ketika itu bersikap etnosentrik iaitu pandangan yang melihat cara diri sendiri itu adalah betul dan baik daripada masyarakat atau kelompok sosial yang dikaji. Di samping pandangan yang tidak berdasarkan oleh kajian lapangan yang hanya mengutip nota-nota pelawat ke negara ini seperti yang ditulis oleh Karl Marx dan Engels dalam buku On Colonialism serta ditambah dengan kritikan terhadap agama Islam dan Al-Quran sebagai agama palsu tanpa beri penjelasan.

Kesemua ini telah membawa kepada berjayanya strerotaip yang negatif yang telah merosotkan cara pandang antara sesama masyarakat seperti; orang Melayu = malas; orang Cina = mudah disogok; orang India = penakut dan suka bercakap berbelit-belit. Konotasi negatif ini melingkari pengalaman seharian kita dan telah disosialisasikan dan diasosiasikan dalam masyarakat hingga timbul pelbagai masalah perkauman hasil dari konotasi negatif generalisasi ini.

Meskipun begitu, Syed Hussein tidak menolak ada unsur kebenaran di dalamnya namun tidak mewakili seluruh gambaran masyarakat hatta kebanyakannya adalah refleksi sikap golongan elit dan kolonialis itu sendiri. Kritikan Syed Hussein ini adalah menjurus kepada salah anggap penulis kolonial yang memahami bahawa kolonialisme merupakan alat perubahan masyarakat walhal tanpa menafikan manfaat yang dibawa, kolonialisme sebenarnya telah merintangi perubahan sosial kerana telah mempertahan unsur-unsur feudal dalam masyarakat tradisional kepada tata feudal yang sesuai dengan tujuan mereka terutamanya dalam hal-hal politik.

Dalam bab-bab terakhir buku ini, Syed Hussein mengkritik golongan kelas menengah yang menjadi pemimpin masyarakat ketika itu yang sama sekali menunjukkan sikap ‘captive mind’ apabila sewenangnya mengkritik dan menganalisis masyarakat dengan paradigma kapitalis kolonial apabila menyalahkan masyarakat Melayu yang mundur ketika itu sedangkan mereka sendiri melupakan tanggungjawab sebagai ‘kerajaan’ yang sepatutnya berusaha sehabis baik membantu masyarakat.

Buku ini seharusnya tidak menjadikan kita berpaling ke belakang dan mengidamkan semangat zaman dahulu muncul di depan mata, tetapi sebagai ilmu untuk meluaskan dataran horizon pemikiran agar dapat berusaha memperbaiki faham kita terhadap sejarah lama antara mitos dan fakta. Justeru, pandangan sejarah kita haruslah di transisi agar sejajar dengan ketamadunan lama lewat sekarang ini di mana sejarah dianggap sangat tawar oleh masyarakat kini.

Walhal tanpa memahami sejarah dan mengambil ibrah, kita tak akan sama sekali mampu untuk berubah.

Disediakan oleh:
  1. Aisyah Jaafar (Calon PhD - Sosiologi)

Friday, March 27, 2015

Ulasan Buku: Pergolakan Pemikiran Islam - Catatan Harian Ahmad Wahib (Bahagian 2)

Pertama kali melihat buku ini, ku sangka ini pastinya tulisan penganut Wahabi. Ketika keyakinan itu masih utuh, aku tetap juga setia membaca. Gila. Buku ini memaksa aku keluar dari ‘gua agama’ yang sebelum ini memaksa ribuan persoalan hanya melekat di benak minda, kusut. Ahmad Wahib ini – jalur tugasnya sebagai wartawan muda di Indonesia mengalir laju seiring sikapnya dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang membengkak di urat kepala.

Ketika Ahmad Wahib menikam dari segala arah supaya dirinya berani mengeluarkan persoalan-persoalan yang pada pandangan akalnya aneh, beliau membawa pembaca bersetuju supaya jangan sama sekali disekat budaya berfikir. Bahkan antara petikan tulisannya yang unik adalah, "Tuhan bukan daerah terlarang bagi manusia" yang menjadi latar catatan ini benar-benar menjunam sesiapa sahaja untuk berfikir jauh ke dalam, terus berfikir dan memahami agama sebaiknya.

Beberapa kegilaan terjadi kepada ku ketika membaca catatan ini. Kegelisahan Ahmad Wahid mencari makna agama yang sebenar menyusur jalan sehariannya dengan mengikuti secara dekat, rapat dan aktif dengan diskusi-diskusi agama. Perjalanan mudanya yang skeptikal dalam mencari Tuhan, memaknai hukum-hukum dan memahami Islam bukan secara literal menggoncang jiwa mudanya keluar dari HMI (Himpunan Mahasiswa Islam) kerana dianggap merosakkan pemikiran rakan seagama. Aneh bagi Ahmad Wahib, menjadi buangan meluruskan aliran mindanya berfikir lebih laju.

Situasi yang sama dipertontonkan seperti hari ini ketika mana perbezaan pemikiran dalam memahami agama dan isu digambarkan sebagai kafir, sekular dan golongan yang tercicir dari landasan agama. Cukup saja petikan ini menceritakan segalanya.
"Memang aku dahaga. Dahaga akan segala pengaruh. Karena itu ku buka baju ku, ku sajikan tubuh ku yang telanjang agar setiap bagian dari tubuh ku berkesempatan memandang alam luas dari segala penjuru. Permainan yang tak akan pernah selesai ini sangat mengasyikkan.” 
(Ahmad Wahib, 6 Oktober 1969)
Ahmad Wahid dalam rakaman catatannya turut melontarkan kritikan tajamnya kepada sarjana Islam (ahli ilmuwan) pada hari ini yang hanya bersikap ilmiah terhadap persoalan-persoalan dalam kerangka bidang ilmunya semata-mata namun terhenti apabila menghadapi permasalahan-permasalahan berbau agama yang ada kalanya hanya dianggap sebagai fenomena sosial dan ilmu baru dianggap ‘petunjuk buta’ sedangkan seharusnya ilmu pengetahuan itu perlu ditumbuk lumat agar difahami sedalamnya dan dicerna sebagai kesedaran.

Ahmad Wahib melahirkan keinginannya untuk bertemu Nabi Muhammad s.a.w dan mengajaknya hidup di abad ke 20 dan memberikan jawapan kepada persoalan yang timbul dengan meluahkan rasa kurang percayanya terhadap ahli agama yang disebut pewaris Nabi. Hakikatnya, apa yang ingin disampaikan Ahmad Wahib adalah larangan menerima sesuatu secara buta, melakukan pengkajian dan bertanya dengan kepastian sesuatu kefahaman yang telah dianalisis.

Barangkali, kalaulah Ahmad Wahib ini masih hidup, beliau boleh dituduh atau diancam dan kemungkinan catatannya ini juga diharamkan. Namun itulah peribadi Ahmad Wahib, anak muda yang diangkat karya selepas matinya.
"Saya ingin menjadi Muslim yang baik dengan selalu bertanya. Saya tidak boleh mengelak dari berhenti .berfikir. Bekerjanya fikiran itu telah melekat pada makhluk yang bernama manusia. Kerana itu tidak ada jalan lain kecuali menggunakan daya berfikir itu sebaik mungkin."
Jadilah Muslim yang baik dengan selalu bertanya. Kata-kata keramat Ahmad Wahid itu dalam perjalanan menuju Tuhannya wajar untuk kita renungi akan maksudnya.

Disediakan oleh:
  1. Wan Khuzaifiah (Graduan Syariah - Comparative Law)