Saturday, April 4, 2015

Ulasan Buku: Aku Kafir, Kau Siapa oleh Ooi Kok Hin

"Aku Kafir, Kau Siapa" merupakan tulisan pertama Ooi Kok Hin yang dibukukan, telah berjaya mengajak saya percaya semula, bahawa masih ada harapan untuk Malaysia Baru yang lebih maju dari semua aspek dilahirkan, dan rasa percaya itu hanya boleh berlaku jika generasi yang akan datang (semua kaum) sedar dan mempunyai semangat untuk membangunkan Malaysia seperti yang diimpikan.

Saya seorang Melayu, apabila membaca buku yang ditulis oleh seorang Cina, yang tema-tema perbincangannya kedengaran cukup klise – tentang hubungan antara kaum, keharmonian agama, kepelbagaian budaya, isu-isu sensitif, tentu sekali ianya berjaya memanggil saya untuk bertanya banyak soalan lantaran, selama ini seorang Melayu itu sering kali merasa bimbang jika bertanyakan sebegitu rupa.

Membacanya, kita boleh mendengar luahan perasaan kaum minoriti di Malaysia – ini pun masih boleh dipersoalkan, sejauh mana minoritinya Cina di Malaysia dan dari konteks mana yang dikatakan minoriti? Akan tetapi, pengalaman dan keperitan yang diceritakan oleh Ooi perihal kaum minoriti dan ketidakadilan itu, memang langsung tidak dapat diendahkan kebenarannya.

Kerana, bukan Ooi sahaja berdepan dengan situasi sedemikian, bahkan ramai juga kawan-kawan Melayu yang sedar betapa tidak adilnya apabila rakan Cina mereka yang nyata jauh lebih cemerlang dinafikan hak untuk mendapatkan peluang yang sama rata dalam sistem pendidikan kita. Itu belum lagi kita bercakap soal bantuan kewangan dan biasiswa oleh badan-badan kerajaan.

Penulis menyifatkan sistem pendidikan kita sebagai “messy”, dan apakah kita boleh menafikan hakikat itu? Tidak sama sekali. Semua akur akan realiti ini. Bermula dari serendah-rendah tahap pendidikan, sehinggalah kepada setinggi-tinggi pengajian universiti, sistem kita amatlah berserabut seolah-olah tidak bersistem. Entah apa yang diimpikan oleh para penguasa negara dengan sistem pendidikan sebegini, kita pun kepeningan.

Apatah lagi mahu berbicara dari sistem yang berserabut ini, soal kesepaduan dan keharmonian kaum, soal jambatan integrasi dan adaptasi, sudah tentulah bicara-bicara itu tidak lebih sifatnya angan-angan Mat Jenin. Ooi ada juga mengutarakan beberapa cadangan, yang difikirkan mampu mengubati permasalahan ini. Namun yang demikian, harus kita insafi bahawa, pendidikan bukanlah sebuah sistem “try and error” kerana kesan kesilapannya adalah dahsyat.

Itulah falasi yang cuba diberitahu oleh Ooi secara tersirat, bahawa pendidikan yang sewajarnya menjadi tempat bercambahnya kemanusiaan, tapi kini tidak ubah menjadi alatan untuk menekan dan menindas sesuatu pihak oleh pihak yang lain. Ditakdirkan saya juga sebagai Cina, pasti saya akan berkongsi ketidakpuasan hati yang sama, terutamanya pada polisi negara yang warna kulit dan kepercayaan itu menjadi premis utama.

Seorang manusia, kemanusiaanlah yang akan memandu jiwa mereka untuk tunduk pada makna keadilan, untuk berkongsi rasa sengsara itu, walaupun kita semua tahu bahawa sistem sekarang banyaknya merupakan warisan dari sistem penjajah dulunya lagi. Malangnya, generasi pasca-merdeka masih tetap menanggung biawak hidup, bahkan mereka yang menerajui kerusi kepimpinan sekarang pun seolah-olah mahu terus menyambung legasi yang ditinggalkan penjajah.

Maka, bagi Ooi, proses perubahan dan perkembangan pada sistem-sistem yang lapuk semestinya berlaku jika Malaysia mahu bergerak menjadi sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang terbilang, seiring dengan kemajuan zaman dan peradaban. Maka, pada saya, kritikan Ooi walaupun bunyinya klise, tetap bermakna dan relevan untuk terus diperpanjang agar persoalan-persoalan yang mencabar status quo tidak mati.

Ooi membahagikan tulisannya kepada 3 bahagian, iaitu pendidikan, agama dan kebebasan, dan politik. Nasib yang agak baik apabila membaca buku ini, kerana tulisan-tulisan Ooi bukan jenis kitar semula dari terbitan artikelnya di mana-mana portal berita sebelum ini. Saya berharap, saya tidak silap dalam membuat andaian ini. Maklumlah, sudah menjadi tabiat penulis di Malaysia begitu gemar ulang cetak artikel dalam portal berita menjadi sebuah buku. Alangkah mudahnya menjadi penulis!

Tapi tidak bagi Ooi, maka oleh yang demikian, tahniah dan terima kasih.

Saya menggemari tulisan Ooi kerana, seperti pada awal ulasan ini nyatakan, tulisan penulis muda ini bersifat berani dan tidak malu-malu kucing. Beliau tidak takut untuk bertanyakan soalan-soalan yang mencabar status quo. Tentang mengapa beliau tidak percaya pada agama yang berpegang pada teks-teks sakral, pada hujahnya yang mengatakan bahawa Islam dan Kristian itu masih belum mampu memberi keyakinan bahawa Tuhan itu wujud, tentang teori evolusi yang baginya lebih meyakinkan.

Soalan-soalan begini, pada rata-rata umut Islam, mereka bimbang untuk bertanya. Mereka merasa takut jika ditohmah sudah terkeluar dari agama. Apatah lagi, untuk mengutarakan persoalan lainnya seperti LGBT dan hak-hak mereka sebagai manusia yang juga dilahirkan merdeka, bunyinya pun sudah cukup taboo untuk golongan beragama. Jadi, hemat saya, buku ini berani untuk mengajak kita mempersoalkan kembali perkara yang sifatnya status quo, eksklusif – atau dibuat-buat eksklusif oleh pihak pemerintah.

Juga beliau persoalkan perihal sistem perundangan negara ini yang sifatnya kembar, satu syariah dan satu sivil. Yang mana supreme jika mereka berdua bertembung? Soalan ini menggamit akal kita untuk berfikir dengan lanjut. Juga hal kajian perbandingan beliau antara Malaysia dan konteks Indonesia dari sudut perpaduan nasional. Cadangan beliau tentang dialog silang-budaya, ini membahagiakan! Inilah soalan-soalan berbentuk realiti yang wajar kita tanyakan saban waktu, supaya kita bersedia untuk mendepani perubahan zaman dan generasi pada masa mendatang tanpa perlu risaukan kesan kerosakan yang dahsyat.

Hal begini sifatnya kritikal, kerana jikalau kita gagal untuk bertanya akan perkara begini pada waktu sekarang, bagaimana untuk kita membuat antisipasi masa depan anak bangsa Malaysia pada masa mendatang? Kita ini terkenal dengan perangai takut untuk mendepani realiti. Realitinya, ramai yang merasa ragu pada satu dua perkara yang kononnya sensitif, tapi ramai mana yang berani untuk mempersoalkannya dengan terbuka seperti Ooi?

Namun yang demikian, sebagai seorang Muslim, tentu sekali saya mahu mengajak saudara Ooi untuk turut mengkaji tentang Islam, membaca teks turath Islami yang jauh lebih mendalam makna dan filsufnya berbanding tulisan-tulisan kontang zaman kontemporari. Mungkin yang demikian, Ooi mampu menemui apa yang dicarinya – yang disifatkan beliau untuk terus mencari sehingga bertemu satu titik kepastian.

Moga saudara Ooi terus menulis. Moga tulisan yang pertama untuk yang banyak lagi seterusnya, bukan yang terakhir. Pada Ooi yang mempersoalkan banyak hal, terima kasih kerana itulah sikap yang wajar kita semua contohi – berani bersoal pada kepercayaan lapuk, berani melawat semula hal-hal yang sensitif, dan berani membantah pada hal status quo yang dibuat-buat.

Disediakan oleh:
  1. Sarimah Abdullah (Mahasiswa Tahun 3 - Kejuruteraan Mekanikal)

No comments:

Post a Comment