Sunday, April 5, 2015

Ulasan Buku: Civilization and Modernization: What’s The Difference oleh Ali Shariati

“The world is not divided between East and West. You are American, I am Iranian, we don’t know each other, but we talk and we understand each other perfectly. The difference between you and your government is much bigger than the difference between you and me. And the difference between me and my government is much bigger than the difference between me and you. And our governments are very much the same.” 
(Persepolis, Marjane Satrapi)
Buku yang bakal diulas ini adalah sebuah karya Ali Shariati (1933-1977), seorang yang diangkat sebagai pencetus revolusi Iran, seorang sosiologis dan merupakan pemikir Iran yang sangat berpengaruh pada abad ke 20. Meskipun beliau mati dibunuh sebelum berlakunya revolusi Iran, namun beliau tetap dinobatkan sebagai penyumbang ideologi yang menjadi sendi revolusi yang menggemparkan dunia tersebut.

Latar kehidupan beliau di Iran setelah pulang dari Perancis usai tamat pengajian doktoral beliau amat berliku. Iran di bawah pemerintahan monarki Shah ketika itu, telah menandatangani perjanjian konsesi minyak yang secara tidak langsung menjadi pembiaya minyak kepada Great Britain dalam kedua-dua Perang Dunia, telah menyebabkan banyak sekali berlaku kemasukan aliran budaya Barat ke Iran. Kepulangan Ali, bersama falsafah, teologi dan pemikiran sosial acuan Islam, telah mencabar Shah dan rejimnya ketika itu.

Meskipun, Iran didefinisikan sebagai maju dan bertamadun di bawah Shah dengan fenomena ideologi Barat, namun tahap kualiti pendidikan rakyat masih berada di tahap yang rendah. Ali Shariati telah dituduh terlibat dengan gerakan politik sewaktu belajar di Perancis dan telah dipenjarakan selama setahun oleh rejim pemerintah ketika itu. Beliau mula mengajar di Universiti Mashhad setelah selesai menjalani hukuman.

Namun, populariti beliau di kalangan anak muda adalah amat membimbangkan kerajaan ketika itu hingga pernah kuliah beliau yang dihadiri lebih daripada enam ribu pelajar dari pelbagai latar belakang di Houssein-e-Ershad Institute telah dikepung oleh pihak berkuasa Iran. Kekejaman rejim polis terserlah apabila telah menahan sebilangan besar murid beliau serta menyabitkan kesalahan ke atas Ali Shariati hingga menyeret beliau ke tirai besi buat kali kedua dalam tempoh 8 bulan.

Hal ini telah mematikan segala pintu penyebaran ilmu beliau kepada anak-anak muda di Iran ketika itu. Apa yang istimewanya susuk tubuh ini hingga kebebasan beliau menjadi igauan yang menakutkan parti kerajaan Iran ketika itu? Tidak lain, apa yang dibawa oleh Ali, sebenarnya ialah satu pemikiran jalan pulang yang mengajak kembali golongan masyarakat ketika itu yang banyak sekali dipengaruhi oleh idea Barat di bawah pemerintahan Monarki Shah Iran.

Di dalam catatan Ali, Civilization and Modernization: What’s The Difference? ini mempunyai kaitan yang rapat dengan latar belakang sosio-budaya masyarakat Shariati pada masa itu. Beliau telah membincangkan suatu isu vital sangat penting iaitu hubungan antara kemodenan yang diperkenalkan Barat dengan dakwaan ia satu tamadun yang tulen yang sedang melanggar dunia luar Eropah membawa arus perubahan dari tradisional kepada moden, dari mundur kepada maju, dari pasif kepada progresif.

Fenomena ini telah menghasilkan weltanschauung (world view) dalam masyarakat yang berpaksikan Barat serta berkembang mekar aliran dikotomi Barat-moden dan bukan- Barat-mundur di dunia Timur, Asia dan Afrika. Ali, telah mendakwa bahawa misi modenisasi yang telah dikenalkan kepada bangsa bukan Eropah tidak sama sekali dengan apa yang dinamakan ‘tamadun’. Kekaburan istilah tamadun sendiri telah menyebabkan bangsa bukan-Eropah menanggapi moden Barat itulah tamadun yang baik.

Ali dalam penulisan beliau ini mendefinisikan beberapa konsep penting seperti; apa itu intelektual, asimilasi dan keterasingan (alienation) yang perlu difahami oleh masyarakat dalam maksud yang sebenar. Beliau di awal perbincangan menyatakan bahawa kemodenan tajaan Barat adalah bertitik tolak daripada kemunculan revolusi industri yang mana proses pengeluaran berlaku dengan cepat dan secara besar-besaran. Lebihan produk yang dikeluarkan ini telah dipaksakan ke atas masyarakat bukan-Eropah ibarat ‘landfill site’ untuk lebihan produk di sana.

Masyarakat yang tidak sedar dengan hal ini, menjadi mabuk dengan lambakan materialistik dan budaya konsumerisme yang tidak dapat dikawal lagi. Keterasingan yang berlaku di dunia luar Eropah yang diistilahkan sebagai ‘keterasingan budaya’ atau cultural alienation oleh Shariati, ialah keadaan di mana seseorang tidak melihat dirinya sebagai dia, tetapi merasakan sesuatu yang lain untuk menggantikannya. Berlakunya keterasingan budaya ini telah menyebabkan wujudnya faktor-faktor tiruan yang menghapuskan budaya sebenar dan menggantikannya dengan budaya yang palsu dalam keadaan yang berbeza, tahap sejarah yang berbeza, ekonomi berbeza, latar belakang yang berbeza serta politik dan sosial yang berbeza.

Imperialisme Barat ini telah mewujudkan sebuah keadaan ‘mosaic societies’ yang disifatkan formless, with no special shape and no goal menurut Shariati. Hal ini seolah-olah telah menelanjangkan dunia yang pelbagai warna dan corak dan telah memakaikan pakaian modenisasi Barat yang sedondon warna, corak dan sifatnya. Misi Barat yang dipanggil ‘zeal mission’ ini telah berjaya dalam mencapai tujuan mereka iaitu mahu menghapuskan perbezaan dalam pemikiran dan semangat bangsa di dunia dalam usaha untuk menjadi masyarakat yang seragam dan patuh pada peraturan Barat.

Bagaimana masyarakat yang dicipta tuhan sebagai pelbagai dapat hidup dengan cara yang serupa? Sedangkan tuhan sendiri mencipta kita dengan berbeza-beza dari segi bahasa pertuturan, cara pandang hidup dan budaya. Kritikan tajam Shariati terhadap kaum intelek yang belajar di Barat dan langsung membawa pulang pemikiran, cara dan budaya sana dan menjajakan label budaya sedia ada yang diamalkan sebagai kolot, kaku dan mundur. Budaya Barat diangkat sebagai maju, moden dan progresif.

Masyarakat yang bergantung dengan intelektualnya ini telah dinodai dan dibunuh jiwa nasionalis mereka sehingga mereka telah mengubah cara pandang mereka selama ini kerana merasakan tertinggal di belakang gelombang tamadun yang melanda seluruh dunia berpusat di Barat itu. Hari ini, kesan idea Shariati ini masih kukuh tersemat dalam jiwa rakyat Iran. Gelombang Barat yang cuba memecah masuk menerusi lubang-lubang kuku besi pemerintah zalim telah ditutup.

Peluang Barat menerusi projek United Nation atau mana-mana asosiasi bertaraf dunia untuk mencelah masuk ke Iran menemui jalan buntu. Hasilnya, propaganda media dimainkan untuk menutup kaca mata Dunia dari kegagalan imperialisme mereka di sana. Saat ini, pemimpin Iran selepas Shah, telah stereotaip dengan tiga ‘S’ dalam mana-mana diskusi iaitu sighs, sanctions dan spats. Sedangkan apa yang sedang berlaku adalah bantahan Barat terhadap sikap Iran yang kerap kali mencabar Barat.

Kesimpulannya, imperialisme Barat telah pun berlaku dua kali. Satunya dalam bentuk fizikal untuk meluaskan jajahan mereka dan kedua untuk memperluas ideologi mereka. Sejarah membuktikan menerusi hikayat Mukaddimah, tulisan masyhur Ibnu Khaldun bahawa kegemilangan sesuatu empayar tamadun itu tidak lama, selepas di puncak pastinya ia rebah dan diganti dengan tamadun yang lain. Namun, persoalannya bersedia atau tidak akan kita untuk berubah dan membina tamadun baru yang lebih kondusif?

Tepuk dada, tanya ilmu…

Rujukan:
  1. Ali Shariaati, Civilization and Modernization: What’s the difference?, Citizens Ali Shariati (2006), International: Penang
  2. Savannah Cox, Life Under The Shah: What Iran Looked Like Before The Revolution. 2014.
  3. Ibnu Khaldun, Mukaddimah PDF. (https://asadullahali.files.wordpress.com/2012/10/ibn_khaldun-al_muqaddimah.pdf)

Disediakan oleh:
  1. Aisyah Jaafar (Calon PhD - Sosiologi)

No comments:

Post a Comment