Saturday, April 18, 2015

Ulasan Buku: Falsafah Ketuhanan oleh Hamka

Antara karya penting Bapak Hamka, dan karya penting yang WAIB dibaca jika ingin menambah pengetahuan dalam bidang ilmu akidah dan ketuhanan, adalah ‘Falsafah Ketuhanan’ yang ditulis menjelang hari-hari akhir beliau. Tidak dapat ditolak bahawa ini juga merupakan buku terakhir beliau sebelum meninggal dunia pada tahun 1981. Tulisan ini mampu memandu kita mendapatkan gambaran jelas dalam memahami bidang keilmuan ini dengan olah bahasa yang mudah difahami.

Permulaan penulisan ini, Hamka membawa pembaca mengenali sejarah manusia dan agama semenjak awal kewujudannya. Bagaimana manusia mula melihat alam sebagai satu kuasa agung, menyembah matahari, bulan dan bintang, batu dan pokok, roh yang mati, nenek moyang dan kepercayaan yang membawa kepada pegangan. Namun di akhir segala kepercayaan tersebut, manusia bersepakat pada mempercayai adanya satu kuasa yang mengatasi atau mengepalai semuanya. Itu kesepakatan kemanusiaan.

Dan kepercayaan ini membawa ahli falsafah zaman berzaman meneroka dan mengeluarkan lebih banyak pandangan. Yunani mempercayai puluhan ribu dewa, diketuai Apollos sebagai Dewa Besar, Thales mempercayai asal sesuatu adalah air, Anaximandros yang bermakna asal yang tidak berkesudahan, Anaximenes yang bermakna asal sesuatu dari wap, Pythagoras yang bermakna asal sesuatu ialah angka dan pokok angka adalah SATU.

Lalu Socrates membawa kepada Falsafah Diri, dan dikembangkan oleh Plato dan akhirnya membawa kepada adanya Yang Maha Tunggal, Penggerak kepada segala sesuatu. Yang darinya kita datang dan akan kembali. Falsafah mengiakannya. Lalu Aristotle menyambung falsafah Plato mengakui dan menyelidiki hakikat kepada Yang Ada itu. Lalu akal manusia berterusan berkembang dari zaman ke zaman menyelidiki alam, tentang ada dan tiadanya, tentang hidup dan kehidupan, dan berterusan ilmu-ilmu falsafah itu hingga mencapai batasnya dalam menentukan ada dan tiadanya itu.

Namun, telah diakui oleh seluruh agama bahawa adanya Yang Ada itu yang menciptakan dan meniadakan. Plato mengatakan itulah puncak Ideal, Tao mengakui itulah Lao Tze. Islam mengatakan itulah ALLAH swt. Kita mengatakan itulah percikan fitrah yang ada dalam setiap sanubari manusia yang menuntut pengakuan kepada wujudnya Tuhan itu. Perjalanan mencari Tuhan itu dinamai fitrah, dan di hujung jalan itu dinamai Islam. Iaitu penyerahan bahawa habislah daya mencari alasan akan tiadanya, maka berserahlah diri menunduk sipu mengakui akan adanya.

Hamka tidak meninggalkan pembacanya sebelum membezakan percaya (iman) dengan turut saja (taklid).

Iman atau Percaya itu membuat kita tertunduk di hadapan kebesaran Tuhan Yang Maha Kuasa setelah pencarian dilakukan, perjalanan mencari kebenaran itu berlaku. Lalu tibanya pada satu dinding yang tidak dapat ditembusi, maka manusia menginsafi akan Kehebatan Tuhan. Ia melalui perjalanan menggunakan akal.

Beza turut saja (taklid) ia menurut tanpa akal. Hingga jika dia terkeluar dari suasana biasa yang diturutinya, maka tertanggallah satu per satu pakaian yang diturutinya itu hingga tiada apa lagi yang tinggal padanya, kerana di kiri dan kanannya sudah berubah keadaannya sama sekali, maka dia juga turut berubah. Taklid ini mudah melabel manusia 'tersesat atau keluar dari agama' jika pendapat yang didengarinya jauh dari apa yang pernah diketahuinya. Kerana ia takut sekali menggunakan akalnya, takut akan ujian akal.

Taklid ini musuh kemerdekaan akal. Taklid merosakkan iman. Maka jelas bezalah iman itu dengan taklid.

Iman; keyakinan berasaskan ilmu, meraikan perbezaan dan pertembungan pemikiran dengan sihat.

Taklid; menyekat dan membawa kepada tuduhan yang keras kepada kelainan pendapat.

Bab seterusnya setelah Hamka menjelaskan konsep-konsep yang berkait dengan sejarah keagamaan dan ketuhanan tanpa mengaitkan dengan Islam secara langsung, Hamka mula membawa pembaca menelusur ayat-ayat dalam al-Quran yang memandu manusia dalam menjawab persoalan yang tidak mampu ditembusi oleh akal manusia. Hujah kewujudan Tuhan, melalui penelitian alam.

Maka sampailah pembaca kepada inti sari menarik dalam buku ini apabila Hamka mula mengaitkan falsafah, teknologi dan sains kepada perjalanan ke arah Tuhan. Keegoan sains dan teknologi, serta falsafah akan hebatnya mereka dalam inovasi dan meneroka alam, menyelidiki hingga sekecil-kecil zarah. Hingga kini ada yang turut mengagungkan sains dan teknologi hingga ke tahap Tuhan, Hamka menjawab:
“Aturan alam ini, ilmu kita hanya dapat mengetahui akan adanya aturan itu. Kita tidak dapat menciptakan yang lebih baik dari itu, kita hanya menyusun aturan baru yang tidak dapat terkeluar dari aturan yang sedia asli dalam Alam itu. Ikutlah mana ilmu sekalipun, aturan itu tidak dapat dilawan. Aturan itu kita gelar ‘natural order’ atau ‘sunnatullah’. Hebat bagaimanapun manusia, teknologi dan sains itu, ia aturan ini tidak dapat dilawan, melainkan hanya dimanfaatkan.”
Ya, benar sekali. Hebat bagaimanapun sains dan teknologi, mereka tidak boleh mengubah sunnatullah. Mereka tidak boleh mengubah sifat api yang panas, molekul yang ada dalam air dan udara, aliran-aliran sungai, ombak dan laut dan sebagainya. Sains dan teknologi hanya mampu ekstrak apa yang telah sedia diatur dan disusun oleh Yang Maha Menyusun atur alam ini.

Dan jika sains dan teknologi menolak akan adanya Yang Mengatur, mendakwa alam ini bergerak dengan tabiat alam dan secara semula jadi, maka Hamka mendatangkan hujah-hujah yang sangat menarik untuk diteliti dan diulang baca.

Hamka bertanya akan pergerakan zarah. Ahli sains mengatakan zarah itu sifatnya bebas. Namun pergerakan zarah itu dalam kesepakatan. Maka kata Hamka, hinggakan zarah-zarah itu pun bersepakat dalam pergerakan dan aturannya, maka tentulah ia tidak bebas, iaitu ada yang mengaturnya, kerana jika ia bebas sebagaimana didakwa, maka tentulah ia tidak terikat dengan kesepakatan dan aturan. Lalu hujah ini menguatkan lagi dakwaan wujudnya Yang Maha Menyusun atur setiap sesuatu dari alam ini.

Lagi hujah beliau, jika alam ini tiada pengaturnya. Andaikan sebuah banglo dibina indah oleh seorang arkitek terhebat. Lalu arkitek itu mati, dan rumah itu dibiarkan kosong. Setahun dua tahun, rumah itu akan dikelilingi semak samun, pohon yang tidak terurus, rumah yang gah tadi terlihat usang malah menakutkan. Tanda bahawa tiada yang menguruskan, kerana pengaturnya dan pengurusnya telah mati. Namun, alam ini masih terurus indah, walaupun alam ini mengalami perubahan dan pergerakan dari hari ke hari malah berpuluh ribu tahun sebelumnya. Ini kerana penciptanya, pengurusnya dan penyusunnya tidak mati.

Lihatlah kepada alam ini, maka akan tertunduk malu kita mengakui kebesaran Allah, dan menolak kepada segala dakwaan akan ketiadaan Pencipta Alam ini. Sebagaimana mesej pada kulit muka buku ini, menunjuk kepada alam.

Dalam bab-bab terbelakang, Hamka menerangkan berkaitan beberapa sifat dalam sifat 20 Allah s.w.t. yang perlu diteliti dengan serius untuk menjawab persoalan-persoalan ketuhanan yang meragui akan kewujudan-Nya, dan dalam membina keyakinan serta kekuatan akidah pembaca yang beragama Islam. Dalam perbahasan beberapa sifat yang dipilih daripada sifat 20 ini, Hamka juga tidak lekang dalam memberi hujah-hujah akal yang sangat menarik dan mudah difahami.

Bacalah buku ini jika anda ingin memahami falsafah ketuhanan dalam bahasa yang mudah, yang penuh dengan analogi indah dan menarik. Ulasan ini tidak seberapa, malah mungkin tidak berlaku adil pada makna dan maksud sebenar Hamka menulis buku ini, kerana jika anda ingin merasai kehebatan penulisan ini, anda perlu menjual masa untuk membacanya.

Kita berdiri di tepi laut, kita lihat ombak bergulung. 
Lalu kita bertanya:
"Mengapa ombak itu bergulung?"
Kerana udara.
"Mengapa udara bergerak?"
Kerana hawa panas!
"Dari mana datangnya panas itu?"
Dari Matahari!
"Siapa yang meletakkan panas pada matahari?"
... Diam!

HAMKA

Disediakan oleh:
  1. Sakinah Mohammad (Pelajar Sarjana - Usuluddin dan Falsafah)

No comments:

Post a Comment