Saturday, May 9, 2015

Ulasan Buku: Anugerah Islam Untuk Ketamadunan oleh Dr. Muhammad Imarah

Kalau anda ingin membina kembali Tamadun Islam yang hilang, inilah buku pertama yang wajib anda baca. Mungkin itu komentar yang saya mampu berikan selepas menghabiskan bacaan buku Anugerah Islam Untuk Ketamadunan, sebuah terjemahan kepada kitab العطاء الحضاري للإسلام karya Dr. Muhammad Imarah, seorang tokoh pemikir Muslim dari Mesir.

Memulakan perbincangan berkaitan Al-Quran sebagai teras dalam pembangunan tamadun Islam, Dr. Muhammad Imarah menyebut Al-Quran yang diturunkan telah membawa kelahiran baru kepada umat Islam. Benar, wahyu yang sampai kepada Baginda Nabi SAW adalah titik tolak penting dalam pembinaan sebuah tamadun umat manusia yang gemilang.

Ramadan yang menjadi bulan pilihan, apatah lagi Lailatulqadar yang menjadi malam pilihan untuk diturunkan Al-Quran sudah pasti menjadi lebih istimewa. Penulis berjaya mengungkap satu falsafah penting berkaitan Ramadhan sebagai perayaan yang benar-benar harus diraikan oleh umat Islam, iaitu hari kelahiran semula umat.

Mukadimah seperti ini telah memberikan kesedaran bahawa kegemilangan Islam yang pernah di kecapi suatu ketika dahulu bukanlah hanya bersandarkan kepada kudrat dan akal manusia semata-mata, namun di dalamnya terkandung kuasa lain yang jauh lebih besar mengatur dan mentadbir alam ini agar hidup dan terus berkembang.

Inilah asas kepada buku ini dalam beberapa bab yang terkemudian yang membicarakan dalam apa-apa tema sekalipun, termasuklah, Hak Asasi Manusia, Kebebasan, Politik, Ilmu Pengetahuan, Model Masyarakat ia adalah gabung jalin di antara akal dan iradah manusia serta kekuasaan langit yang hanya menjadi kepercayaan orang beriman.

Di sinilah letaknya titik tolak wasatiyyah (kesederhanaan), manusia tidak diberikan kuasa mutlak untuk menguruskan dunia seperti faham barat anuti, namun manusia hanyalah bertindak sebagai khalifah (wakil) Tuhan yang perlu melunaskan tanggungjawab ini dalam kerangka Tauhid yang sebenar.

Wasatiyyah ini juga menjadi keseimbangan kepada kita dalam menguruskan duniawi dan ukhrawi, urusan agama dan dunia, pemerintah dan rakyat, umat dan negara, manusia dan alam tabii, hak dan kekuatan, benda dan roh, wahyu Ilahi dan kreativiti manusia. Wasatiyyah inilah nilai yang tinggi dalam ketamadunan kita. Penulis juga dalam buku ini telah memberikan pencerahan terhadap salah faham barat dan umat terhadap ketamadunan Islam.

Dalam isu Hak Asasi Manusia sebagai contoh, Islam terlebih dahulu menggagas HAM ini bahkan Islam telah mengangkat tema ini lebih daripada sekadar hak, tetapi menjadi tanggungjawab (taklif) kepada umat manusia untuk menjaga agama, diri, akal, harta dan maruah.

Dalam tema kebebasan pula, manusia tidak punya kuasa yang mutlak namun tidaklah beerti bahawa manusia ditentukan urus tadbirnya melainkan kuasa itu telah diberikan kepada kita semua untuk kita menentukan jalan hidup kita sebagaimana yang diperintah. Inilah beza cara faham ketamadunan kita dibandingkan Barat yang meletakkan sepenuh kekuasaan manusia tanpa batas.

Akhirnya, hanya mengundang kemusnahan kepada alam dan dunia. Tema pluralisme juga adalah salah satu tema yang penting dalam buku ini. Tanpa menafikan kepelbagaian agama dan bangsa ini adalah kekayaan khazanah di atas muka bumi ini, ia juga menampilkan kekayaan kekuasaan Allah SWT dalam mencipta alam ini. Pluralisme dalam agama ini diungkapkan oleh penulis sebagai “Kesatuan besar kerana kepelbagaiannya, namun tetap berbeza dengan doktrin masing-masing.

Justeru, kehidupan kita adalah ibarat satu keluarga walaupun berbeza agama dan bangsa, dan kelestarian ini mestilah dipelihara dengan sebaiknya di bawah konsep kesederhanaan (wasatiyyah) dalam agama kita. Dalam dunia yang manusia sedang berkembang dengan budaya dan ketamadunan yang pelbagai, penulis telah memperkenalkan dua tema penting dalam ketamadunan Islam iaitu interaksi antara tamadun (Al-Tafa’ul Hadhari) dan perimbangan dan pengawasan tamadun (Al-Tadafu’ Hadhari).

Penulis faham akan keperluan dialog di antara tamadun, dalam masa yang sama umat harus berfikiran terbuka untuk menerima sesuatu yang baru daripada luar kerana keadaan semasa yang sentiasa berubah. Namun, kita mempunyai tanggungjawab untuk menyaring agar ia selari dengan pemikiran Islam. Ini hanyalah segelintir perkara yang penting sempat untuk dicoretkan.

Hakikatnya, buku ini terlalu banyak perkara yang datang dengan sifat yang mencerahkan dan menyegarkan daripada kebiasaan cara fikir biasa umat. Buku ini pasti akan menjentik akal para pembaca dengan kepercayaan kepada karamah insaniyyah selain fungsi akal yang tinggi dalam Islam sebagai alat untuk mencari kebenaran.

Buku ini adalah buku yang wajib dibaca oleh seluruh lapisan masyarakat, khususnya anak muda dan mahasiswa yang memasang mimpi untuk melihat ketamadunan Islam kembali bergemerlapan di atas dunia hari ini. Buku ini menjadi dorongan kepada saya untuk menyusun semula puzzle kekuatan Islam dan disatukan untuk menjadi sebuah tamadun yang cemerlang dan gemilang.

Semoga Allah memberkati usaha penulis hafizahullah

Disediakan oleh:

Muhamad Azan Safar (Graduan Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah)

No comments:

Post a Comment