Thursday, March 26, 2015

Ulasan Buku: Dilema Melayu oleh Mahathir Mohamad

MAHATHIR SEBELUM DUNIA POLITIK


Sebelum menjadi seorang pemimpin masyarakat, Mahathir merupakan seorang kolumnis yang aktif menulis di ruang-ruang akhbar. Antara akhbar-akhbar yang memaparkan tulisan beliau ialah The New Strait Times. Dilema Melayu merupakan karya beliau yang telah mencetuskan kontroversi pada era pemerintahan Tunku Abdul Rahman.

Karya ini telah diharamkan pengedarannya pada tahun 1970 berikutan tercetusnya rusuhan kaum pada tahun 1969 kerana dilihat mempunyai unsur-unsur hasutan. Walau bagaimanapun, ianya telah dicetak kembali sewaktu Mahathir memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Hal ini kerana, karya ini dilihat sebagai alasan intelektual bagi mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mengimbangkan keadaan ekonomi bangsa Melayu.

Sebagai seorang kolumnis, penulisan Mahathir sarat dengan kritikan dan kenyataan yang bersifat berterus-terang dalam menghuraikan keadaan bangsa Melayu di Malaysia pada tempoh tersebut. Dalam buku Dilema Melayu misalnya, Mahathir menyatakan pengaruh warisan dan budaya sebagai sebab utama rintangan pembangunan orang Melayu. Inti sari dilema ini dapat dikesan melalui huraian Mahathir tentang budaya politik Melayu yang berakar umbi sekian lama (Hiley, 2009: 53).

KONTEKS DILEMA MELAYU (UNSUR-UNSUR KELEMAHAN)


Dalam buku beliau Dilema Melayu, Mahathir banyak menyentuh tentang unsur-unsur kelemahan bangsa Melayu yang dilihatnya sebagai penghalang kepada proses kemajuan bangsa tersebut. Pada pandangan Mahathir, selagi mana kelemahan ini tidak diperbaiki, maka selamanyalah bangsa Melayu tidak akan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain seperti kaum Cina khususnya sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Antara unsur-unsur kelemahan yang disebutkan oleh Mahathir dalam buku ini ialah;

Pertamanya, Mahathir melihat punca bangsa Melayu lemah dalam pelbagai aspek kehidupan adalah disebabkan oleh budaya dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Sebagai contoh, perkahwinan antara ahli keluarga terdekat dikatakan menjadi punca kelemahan pemikiran bangsa Melayu. Hal ini demikian kerana, faktor-faktor keturunan adalah amat penting dalam perkembangan sesuatu bangsa (Mahathir, 1982). Menurut Mahathir (1982);
Hukum Mendel menyatakan bahawa zuriat itu bukanlah merupakan jenis perantaraan antara kedua-dua baka ibu bapa, tetapi menurut hukum yang lazim, baka salah seorang dari ibu bapa itu adalah lebih menonjol dalam zuriat yang dilahirkan. Hukum ini adalah penting kerana ia menolak konsep lazim yang menyatakan bahawa zuriat hendaklah merupakan perwatakan yang lebih sederhana dari sifat-sifat utama kedua-dua ibu bapa.
Menurut Hukum Mendel, terdapat dua ciri dalam genetik iaitu ciri dominan dan ciri resesif. Selalunya, ciri-ciri dominan akan mengatasi ciri-ciri resesif apabila kedua-duanya digabungkan. Oleh itu, jika ciri-ciri dominan kedua ibu bapa adalah sama, maka kemungkinan untuk anak mereka mendapat ciri-ciri dominan tersebut adalah besar. Perkara ini pada pandangan Mahathir merugikan jika ciri-ciri dominan tersebut melibatkan aspek kecerdasan otak, kerajinan dan kepintaran.

Pada zaman Mahathir tersebut, sudah menjadi budaya masyarakat Melayu untuk mengahwinkan anak mereka dengan saudara-mara terdekat atas alasan tidak mahu harta yang diwarisi jatuh ke tangan orang luar, lebih dekat dan sebagainya tanpa memikirkan mengenai pewarisan sifat yang sama dalam keturunan tersebut dan kelemahannya.

Secara mudahnya, jika berkahwin sesama ahli keluarga seperti sepupu dengan sepupu, maka ciri-ciri genetik seperti lemah daya fikir, penyakit keturunan, akan diwarisi oleh keturunan tersebut. Keturunan tersebut tidak akan dapat berkembang kerana mewarisi ciri-ciri dominan yang sama. Agama Islam misalnya menggalakkan umatnya untuk berkenal-kenalan dengan bangsa-bangsa yang berlainan dan tidak hidup dalam kelompok tersendiri sahaja. Menurut Mahathir (1982):
Zuriat yang paling baik ialah hasil dari ibu bapa yang mempunyai ciri-ciri dominan yang berbeza. Kaum keluarga yang dekat lazimnya menyerupai antara satu sama lain, oleh itu besar kemungkinan mereka mempunyai ciri-ciri resesif yang sama. Dengan itu perkahwinan di dalam kaum keluarga ini tidak akan menghasilkan zuriat yang baik. Sebaliknya, orang yang tidak ada pertalian darah mempunyai banyak ciri yang berbeza. Oleh itu perkahwinan di antara orang-orang ni akan menghasilkan zuriat yang lebih baik sebab mereka akan mewarisi ciri-ciri dominan yang baik dari kedua-dua ibu bapa mereka, sementara itu ciri-ciri yang resesif akan pupus.
Selain itu, budaya bangsa Melayu yang dilihat melemahkan bangsa tersebut dari segi persaingan dengan bangsa lain di Tanah Melayu ialah alam sekitar yang dipengaruhi oleh faktor keturunan. Bangsa Cina tak menggalakkan perkahwinan satu rumpun. Oleh itu, baka yang dihasilkan adalah terdiri daripada ciri-ciri yang baik dan mampu menambahkan pengaruh alam sekitar dalam kalangan mereka. Penghijrahan mereka dari Tanah Besar menjadikan mereka bangsa yang lebih rajin berusaha dan tahan cabaran.

Alam sekitar yang kurang membantu dalam memberikan pendedahan hakikat sebenar keadaan Tanah Melayu pada waktu itu menyebabkan bangsa Melayu yang berada di luar bandar kurang berminat dalam bidang perniagaan atau pertukangan. Mereka hanya memberikan tumpuan kepada pertanian. Hal ini demikian kerana tempat tinggal di luar bandar tidak mengizinkan mereka untuk bergaul dan bersosial dengan bangsa lain.

Orang Melayu yang tinggal di bandar pula hanya memberikan tumpuan untuk menjadi pentadbir dan kakitangan awam. Kepercayaan kepada benda-benda tahayul seperti zaman animisme turut melemahkan bangsa Melayu. Kepercayaan-kepercayaan karut ini menjadikan minda bangsa Melayu tertutup untuk melakukan perubahan dan tidak berani melanggar pantang-larang yang kadangkala dilihat tidak relevan dan menyulitkan.

Upacara memuja semangat alam misalnya. Tidak boleh menyalahkan bangsa Melayu seratus peratus atas kelemahan dari pelbagai aspek hidup, Mahathir turut menyatakan dasar pemerintahan British yang bersifat pecah dan perintah turut memberi kesan kepada pembangunan masyarakat Melayu. Pemisahan dilakukan bukan sahaja antara bangsa malah dalam bangsa Melayu sendiri berlaku pemisahan antara orang Melayu bandar dengan orang Melayu luar bandar.

Tujuan British berbuat demikian adalah bagi melemahkan bangsa Melayu dalam bidang politik dan ekonomi. Dengan mengekalkan masyarakat Melayu luar bandar di tempat asal mereka, pihak British dapat menumpukan perhatian kepada aktiviti perdagangan dan mengelakkan orang Melayu daripada bersatu dan menentang British. Perhubungan di antara orang Melayu di bandar dengan orang Melayu di luar bandar juga terbatas kerana kurangnya pembinaan jalan raya (Mahathir; 1982).

Keadaan kesihatan masyarakat Melayu yang tidak dititikberatkan turut merupakan unsur-unsur kelemahan yang ditekankan dalam Dilema Melayu yang menjadi punca kemunduran bangsa Melayu. Amalan kahwin muda dan sikap memandang rendah seseorang yang tidak berkahwin dilihat Mahathir sebagai unsur kelemahan Melayu dari sudut budaya. Hal demikian kerana, perkahwinan pada usia 13 atau 14 tahun merupakan terlalu awal dan pasangan masih tidak matang.

Pasangan kurang berdikari dan bergantung kepada ibu bapa untuk menjaga anak-anak mereka. Cara penjagaan ini pada Mahathir adalah tidak sihat dan dari sudut jangka panjang akan melemahkan bangsa Melayu. Dari sudut ekonomi, kedudukan ekonomi mereka yang begitu rendah diterangkan di sini secara objektif seperti yang dirumuskan oleh orang Melayu. Kedatangan pendatang asing sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka telah menyebabkan berlaku percampuran yang lama-kelamaan mereka diterima dalam kelompok bangsa Melayu.

Persaingan yang sengit antara bangsa Melayu dan Cina bukan menyebabkan bangsa Melayu semakin berusaha kuat, tetapi mereka telah hilang minat dan tidak berdaya saing. Bangsa Melayu hanya memikirkan cara untuk kembali kepada kehidupan yang mudah dengan kerja yang tetap di bawah pentadbiran British. Mereka tidak berminat untuk menceburkan diri secara serius dalam bidang perniagaan bagi mengatasi serta menembusi monopoli perniagaan yang dipegang oleh orang-orang Cina (Mahathir, 1982).

Bagi orang-orang Melayu yang tidak begitu mengetahui tentang selok-belok perniagaan, mereka sudah keliru dengan cara perniagaan yang dijalankan selepas perang. Orang Melayu memang tidak arif dengan pemberian rasuah dan lain-lain cara putar belit, dan apabila golongan yang berpelajaran bekerja semula dengan kerajaan, peluang mereka untuk menjadi kaya dengan cepat dan membaiki kedudukan mereka dalam dunia perniagaan turut terlepas (Mahathir, 1982: 45).

Selain itu, sikap tidak sabar turut merupakan unsur kelemahan bangsa Melayu. Dalam bidang ekonomi, mereka mengamalkan perniagaan secara Ali-Baba. Cara ini adalah cara yang paling mudah bagi orang Melayu untuk mengaut keuntungan jangka pendek. Mereka berkongsi niaga dengan orang Cina yang memiliki modal dan pengetahuan tentang perniagaan. Walau bagaimanapun, orang Melayu hanya mengaut hasil daripada jumlah wang yang tetap bagi lesen perniagaan tetapi tidak mahu langsung mengambil bahagian dalam perniagaan tersebut.

Kesannya, orang Melayu tetap tidak mempunyai kemahiran dalam menguruskan perniagaan. Mahathir menyatakan pendirian bahawa penyertaan orang Melayu sebegini akan menggagalkan nasib bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, pada waktu tersebut hanya inilah satu-satunya cara orang Melayu dapat terlibat dalam perniagaan dan tidak ketinggalan di belakang. Berbeza dengan orang Melayu, orang Cina sangat berpegang teguh kepada ikatan keluarga dan perasaan cauvinisme mereka yang amat ekstrem yang mana membantu mereka untuk berjaya dalam perniagaan.

Sikap orang Melayu terhadap keadaan ketidakseimbangan penglibatan dalam bidang perusahaan dan perdagangan adalah berbeza-beza. Ada yang mengambil sikap tidak apa dan menerima sahaja hakikat bahawa mereka tersisih di bidang perusahaan dan perdagangan. Di samping itu ada pula yang merasa begitu iri hati dan membantah terhadap kuasa ekonomi orang-orang Cina. Pada masa ini sikap tidak apa di kalangan orang Melayu sudah beransur kurang kerana kerja-kerja dalam perkhidmatan kerajaan yang menjadi harapan mereka semakin berkurangan oleh kerana beberapa sebab.

Apabila semakin ramai orang Melayu menghadapi masalah pengangguran, sikap tidak puas hati mereka kerana orang Melayu tersisih di bidang perniagaan semakin meningkat. Seperti biasa sikap orang Melayu yang bersopan santun dan sudi menerima kehadiran orang-orang bukan Melayu telah menghalang orang Melayu dari menyuarakan pendapat mereka secara terbuka. Orang Melayu yang kaya terutamanya pemimpin selalu mengambil sikap mengalah walaupun sesuatu dasar dilihat berat sebelah dan tidak dapat membantu bangsa Melayu.

Antara unsur kelemahan Melayu lagi yang disebut oleh Mahathir ialah sikap tidak mahu mempelajari sesuatu yang baru. Orang Melayu hanya tahu menggunakan sesuatu barangan dan perkhidmatan hasil dari kemahiran bangsa lain tanpa mahu mempelajari cara untuk memperoleh kemahiran ini. Jika dilihat kembali sejarah, orang Melayu bukanlah tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pertukangan atau perniagaan, tetapi kepakaran tersebut perlu seiring dengan zaman.

Persaingan dengan bangsa lain seharusnya menjadikan sesuatu bangsa itu berdaya saing dan perlu mempunyai kelebihan tersendiri. Malangnya disebabkan sikap tidak mahu mempelajari sesuatu perkara yang baru menjadikan orang Melayu semakin ketinggalan. Selain itu, pandangan stereotaip dalam kalangan pemimpin Melayu sendiri yang berpandangan bahawa orang Melayu tidak sesuai menceburi bidang perniagaan atau pekerjaan mahir.

Mereka melihat orang Melayu hanya sesuai menjadi kaum tani. (Kononnya wang bagi orang Melayu tidaklah sama ertinya seperti bagi orang Cina. Mereka juga berpendapat bahawa orang Melayu memang tidak ada keinginan atau keupayaan untuk bekerja kuat. Lebih-lebih lagi orang Melayu tidak boleh berubah). Secara keseluruhannya, bangsa Melayu lemah kerana perasaan rendah diri. Perasaan ini wujud hasil dari gabungan genetik, psikologi dan perbalahan sosioekonomi.

Sesetengah sifat orang Melayu digambarkan sebagai rintangan kepada kemajuan, mementingkan bentuk dan kecenderungan terhadap fatalisme (sikap suka berserah) (Hilley, 2009: 53). Selain itu, budaya kesopanan yang tinggi disalahtafsirkan sebagai tanda hormat. Orang Melayu juga terlalu bertolak ansur terhadap bangsa lain yang menyebabkan budaya berniaga yang dinamik tidak dapat diterapkan.

PENUTUP


Walaupun tulisan Mahathir dalam Dilema Melayu telah mengundang kontroversi kerana dilihat sebagai lantang dalam mengkritik bangsa Melayu dan Cina di Malaysia, namun kenyataan yang dipaparkan masih relevan. Unsur-unsur budaya merupakan perkara asas pembinaan sesebuah bangsa dalam negara. Kelemahan sesuatu bangsa semestinya bermula dari dalam akar bangsa itu sendiri.

Ketidakseimbangan politik dan ekonomi yang berlaku dalam negara semenjak selepas merdeka adalah disebabkan oleh kelemahan sikap yang datang daripada budaya bangsa itu sendiri. Walau bagaimanapun, Mahathir turut menyentuh dasar penjajahan British yang turut menjadi faktor terbesar Melayu terpinggir dari arus pembangunan negara. Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan sememangnya mempunyai tujuan yang jelas untuk meminggirkan bangsa Melayu.

Oleh itu, sebagai penyelesaian, Mahathir melihat perlunya bangsa Melayu dibantu oleh kerajaan bagi mengelakkan rusuhan kaum berlaku akibat rasa ketidakpuasan hati atas ketidakseimbangan ekonomi. Mahathir berusaha mengetengahkan reformis yang berasaskan agenda pertumbuhan yang sesuai dengan pemikiran Islam moden; yakni agenda yang dapat mendorong Bumiputera untuk bersaing dan mengeluarkan Melayu daripada ‘pergantungan’ pada suasana sosioekonomi (Hilley, 2009: 56).

RUJUKAN

Hilley, John. 2009. Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang Baru. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Disediakan oleh:
  1. Nurhidayu Rosli (Calon PhD - Sains Politik)

Wednesday, March 25, 2015

Ulasan Buku: Utopia (1516) oleh Thomas More

LATAR BELAKANG BUKU


Istilah Utopia dicipta oleh Thomas More bagi menggambarkan ciri-ciri sebuah masyarakat yang ideal. Perkataan tersebut diambil dari bahasa Greek ou ‘not’ dan topos ‘place’. Buku ini diterbitkan pada 1516 dalam bahasa Latin dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Paul Turner pada 1965.

Utopia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Buku Pertama dan Buku Kedua. Dalam Buku Pertama, More merekodkan perbualan yang berlaku antara beliau, Peter Gilles dan Raphael Nonsenso. Dalam perbualan ini, mereka mengungkapkan keadaan semasa masyarakat di Eropah.

Manakala, di bahagian Buku Kedua pula, Raphael diminta oleh More untuk menceritakan dengan terperinci pulau atau semenanjung Utopia yang telah dilihat. Untuk tidak merosakkan makna asal terjemahan yang dibuat oleh Paul Turner, saya merekodkan di sini petikan ulasan Buku Satu kerana beliau lebih memahami buku yang diterjemahkan. Menurut Turner (1965);
It begins by pointing out the irrational barbarity of capital punishment for theft, and argues that the only way to reduce the number of thieves is to reduce the number of people who must either steal or starve. In this connexion it attacks the conversion of arable land into pasture, and other contemporary practices liable to cause unemployment. It also suggests, as an alternative to hanging, a system of penal servitude. It then debates the question whether a sensible person should be willing to serve at Court, and satirizes the unscrupulous behaviour of the average king, especially his habit of starting aggressive wars, and his dishonest methods of raising money. Finally, it contrasts the unhappy state of European society with conditions in an ideal country, where human life is organized in the best possible way. (Turner 1965).

DISKUSI


Melihat latar belakang masa dan tempat penulisan More, penulisan Utopia dihasilkan semasa Eropah berada di bawah pemerintahan berbentuk monarki. Idea-idea baru bagi memperbaiki keadaan politik semasa tidak diterima dan dianggap sebagai ancaman kepada pemerintahan raja.

Ancaman terhadap pemikiran baru berkemungkinan menjelaskan gaya penceritaan More yang berbentuk fiksi dan humuristik. Tambahan pula, ahli falsafah pada masa itu mempunyai hubungan yang berkonflik dengan raja. Oleh itu, sama ada perjumpaan More dengan Raphael dan Peter benar-benar berlaku atau sekadar khayalan More, tidak ada sesiapa yang tahu walau pada akhirnya More dihukum gantung kerana idea-ideanya.

Selain itu, ahli diskusi mencapai kata sepakat bahawa kemungkinan pulau atau semenanjung yang dimaksudkan oleh Raphael dalam buku merujuk kepada negara di bawah pemerintahan empayar Islam. Hal ini berdasarkan hujah masa penulisan More dihasilkan, Tamadun Islam sedang berada di puncak dan Islam memerintah hampir sepertiga dunia.

Walau bagaimanapun, setelah disemak kembali kemudiannya ciri-ciri negara Utopia, saya mendapati terdapat beberapa ciri yang berkontrakdiksi dari nilai Islam. Sebagai contoh, tidak mungkin masyarakat yang berada di bawah pemerintahan Islam mengizinkan lelaki dan wanita bersama sebelum berkahwin bagi melihat cacat-cela yang wujud kepada diri masing-masing.

Atau mungkin More menokok-nambah isi penceritaan mengikut kehendak beliau. Kesimpulan yang tidak matang ini terhasil daripada kelemahan saya tidak menghabiskan pembacaan Buku Kedua dalam Utopia. Namun, persoalan yang lebih penting dibangkitkan dalam perbincangan ialah bagaimana angan-angan atau imaginasi More 500 tahun lepas menjadi kenyataan di negara Eropah dan beberapa negara di benua lain seperti Amerika pada masa ini.

Antaranya pemerintahan monarki telah digantikan dengan pemerintahan oleh ahli bijak pandai atau yang dipanggil philosopher king. Kemudian kaedah hukuman terhadap pesalah juga bertukar daripada hukum gantung sampai mati kepada kaedah hukuman yang lebih sivil. Oleh itu, saya berkesimpulan bahawa sesuatu yang ideal atau utopia sebenarnya boleh menjadi kenyataan selagi mana yang berfikir itu ialah manusia.

Revolusi pemikiran yang berlaku dalam kalangan Eropah pada masa tekanan pemerintahan monarki dan gereja telah membawa mereka ke tahap kemajuan tertinggi yang dicapai sekarang ini. Justeru, tidak mustahil bagi kita turut bermimpi dan berimaginasi akan masyarakat ideal yang kita inginkan di dunia ini. Seperti mana kata Immanuel Kant; “Live your life as though your every act were to become a universal law.’

RUJUKAN


More, T. 1965. Utopia. Paul Turner (terj.). England: Penguin Books Ltd.

Disediakan oleh:
  1. Nurhidayu Rosli (Calon PhD - Sains Politik)

Tuesday, March 24, 2015

Ulasan Buku: Pergolakan Pemikiran Islam - Catatan Harian Ahmad Wahib

"Dengan umat Islam sendiri kaum terpelajar Muslim kurang komunikasi dan fikiran-fikiran mereka kurang difahami. Akibatnya, tetaplah umat Islam dalam keadaan tak terbimbing, menjadi stereotaip dan makin reaktif. Tak jarang terjadi, kaum terpelajar Muslim lantas terbawa oleh ‘semangat’ massa atau pendapat kaum awam. Golongan lain dengan kuat dikritik, tapi golongan sendiri langsung tak disentuh. Angkatan muda Islam, golongan yang darinya diharapkan lahir tenaga-tenaga intelektual Muslim, ternyata sangat mengecewakan. Angkatan muda Islam kini merupakan angkatan yang terlambat lahir. Mereka tidak ‘bicara’ dan tidak ‘hadir’ di banyak bidang. Untuk memperbaiki situasi ini maka harus ada pembinaan suatu lapisan budaya baru dalam golongan Islam untuk membawa kesegaran, meningkatkan 'level of political culture’ golongan Islam. The best educated kaum muda yang berbudaya tinggi ini akan merupakan creative minority yang pada gilirannya akan melepaskan umat Islam dari kebekuan." 
(Wahib 2007: 188-189)
Sebelum mengulas mengenai kandungan buku Pergolakan Pemikiran Islam yang ditulis oleh Ahmad Wahib, menjadi kebiasaan saya melihat latar belakang dan konteks semasa penulisan dibuat. Hal demikian kerana, pemikiran-pemikiran penulis selalunya dipengaruhi oleh latar belakang masa, tempat dan keadaan seperti mana terhasilnya Das Capital dan The Communist Manifesto. Karl Marx menghasilkan karya besar tersebut semasa berada pada era penindasan kelompok borjuis terhadap golongan proletar dari sudut ekonomi.

Catatan harian Ahmad Wahib ini ditulis sekitar tahun 1960-an dan Indonesia pada waktu tersebut berada di bawah pemerintahan tentera yang dipimpin oleh Soekarno. Tambahan pula, penulis berada pada fasa transisi antara dunia mahasiswa dan massa. Perubahan pemikiran jelas kelihatan berlaku hasil daripada proses transisi dan kekangan terhadap pemikiran-pemikiran asing dalam landskap politik semasa Indonesia.

Berpindah kepada isi catatan harian yang terbahagi kepada tiga tema iaitu masalah keagamaan, politik dan budaya serta kemahasiswaan dan keilmuan, Wahib banyak menimbulkan persoalan-persoalan yang sengaja dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Persoalan dan kenyataan yang ditimbulkan di bahagian masalah keagamaan kadang-kadang kelihatan keterlaluan bagi norma berfikir individu Muslim.

Antaranya idea-idea pluralisme yang terhasil daripada proses interaksi seharian penulis dengan kelompok penganut Kristian. Dakwaan bahawa tidak ada konsepsi dalam Islam dan Allah menurunkan wahyu juga kepada diri kita di samping wahyu terbesar berupa Al-Quran kepada Muhammad ﷺ. Dakwaan sebegini memerlukan huraian dan penjelasan yang hanya boleh didapati daripada penulis itu sendiri.

Seperti juga apabila dia menyentuh mengenai konsep sekularisme-sekularisasi. Ajaran Islam difahami sebagai berbeza dengan sistem sosial yang di mana ajaran Islam merupakan wahyu Allah yang sudah tetap dan sistem sosial berada dalam daerah kekuasaan manusia.

Saya juga tertarik - amat tertarik - dengan untaian kata pada kulit buku catatan harian Wahib ini yang berbunyi “Tuhan bukanlah daerah terlarang bagi pemikiran,” yang diambil dari halaman 7. Sesungguhnya dalam situasi ribut hudud dan banjir liberalisme pastinya makalah harian ini amat mudah jatuh dalam stereotaip yang dilabel bahan liberal agama.

Bagaimanapun, pada saya “quotes” sebegini menjadi begitu “intriguing” untuk saya memamah isi kandungannya. Lalu saya putuskan untuk membiarkan akal saya yang penakut ini mengembara dalam ikhtiar menjawab masalah keagamaan. Hasilnya, nah biar saya kemukakan satu-persatu. Julungnya, saya amat bersetuju dengan sikap skeptikal Wahib terhadap apa itu Tuhan, bertuhan dan ketuhanan.

Sama seperti konsep berfikir kita tentang agama, beragama dan amalan agama. Konsep-konsep ini yang seputar kehidupan harian kita terus menerus dicabul definisi, makna dan pemaknaannya bagi maksud setiap frasanya hingga akal yang sihat kita jadi beku untuk berfikir tentang agama lantas menganut agama hanya seperti kita melanggan budaya.

Bagaimana cara dewasa makan, begitu juga cara kita makan, nah bukankah ini sama seperti bagaimana kita memahami konsep tuhan, bertuhan dan ketuhanan itu sepertinya menurut agamawan atau intelektual Islam yang punya nafsu egoistik dan akal apologetik bagi setiap interpretasi teks sakral oleh golongan ini?

Justeru memungkinkan wujudnya ruang Islam menjadi jelik dan emosional dengan kebenaran yang selalu didakwa tapi tak punya bukti kukuhnya. Wahib punya nafsu berfikir dan bertanya. Dia malah berani kalau dimarahi Tuhan sekalipun. Justeru, adakah tuhan benar-benar marah jika berfikir itu salah sedang akal yang bebas dikurniai Tuhan?

Wahib juga menentang keras unjuran bahawa akal punya batas untuk fikir tentang tuhan yang sering dicanangkan lantas menimbulkan sikap percaya tuhan yang penuh kepura-puraan? Persoalan Wahib ini juga bukan suatu yang bid'ah bila diselak lembaran teks sakral Quran yang menyebut kisah Ibrahim mempersoalkan kemampuan Tuhan untuk menghidupkan semula makhluk yang mati.

Nah, apakah Ibrahim itu kufur bila berfikir? Bahkan, ukuran akhir keimanan itu adalah hati nurani setelah pertimbangan terhadap pendapat-pendapat, kepentingan-kepentingan, cita-cita orang lain dan kelompok sosial di sekeliling (Wahib 2007; 160).

Frasa-frasa Wahib yang mengutarakan pandangan bahawa agama itu perlu diberi bentuk tetapi bentuk itu sendiri bukan agama telah menyentak kerangka berfikir saya tentang struktur-struktur Islam yang ada pada masa kini e.g. ekonomi Islam, perbankan Islam undang-undang Islam yang terkaut kemas dalam paradigma fikiran saya selama ini.

Betapa Wahib benar dalam menjustifikasikan hal ini di mana selama ini betapa kita telah mengidentifikasikan Islam dengan benda-benda yang bersifat fana’ sedang Islam dan Tuhan tidak pernah benar jika ditempel pada ruang dan waktu. Jika hal itu berlaku, bagaimana pula Tuhan itu dikata bersifat kekal? Justeru, jelas manipulasi kata nama sakral ini sedang dilelong dan dijual secara borong oleh kapitalis agama dan politikus yang penuh serakah dengan kuasa.

Usaha Wahib membuat renungan perkara-perkara ini bukan satu usaha mudah, justeru kembali kepada akal kita untuk berfikir. Wahib sendiri tidak pernah memberi jawapan. Justeru segala tuduhan dan stereotaip yang dilemparkan pada catatan harian ini tidak absah lantaran tuduhan dibuat tanpa sebarang sabit kesalahan. Perkara lain yang dicatat Wahib yang saya tertarik untuk mengupas adalah isu Islamologi.

Kritikan Wahib terhadap ilmu bidang agama yang belum lagi memenuhi syarat untuk disebut ilmu. Persoalan berat ini ditanggapi Wahib dengan tiga syarat yang perlu ada untuk menjadi ‘ilmu’ iaitu; a) objektif; b)sistematik; c) metodologi. Justeru apakah sudah ada dalam ilmu tafsir dan kalam itu syarat-syarat ini?

Saya menanggapi persoalan ini dengan berdasarkan fenomena kajian yang dibuat oleh para pelajar Islam dari fakulti pengajian Islam itu sendiri sebenarnya telah menggunakan metode ilmu liberal dalam menghasilkan kajian agama. Ini sekali gus menjawab persoalan mengapa keluasan ruang ijtihad yang wujud dulu terbatas. Begitu juga subjek-subjek Islam difahami secara linear atas garisan sejarah.

Justeru, bagaimana Islam itu mampu berdiri kukuh sebagai ilmu yang bebas dan bisa memerintah andai peminjaman sebegini terus menerus berlaku? Wahib berhujah bahawa Muslim masih kurang orang yang mahu mengabdikan hidupnya secara atau hampir sepenuhnya pada tugas pembangunan ilmu tersebut hingga dunia Islam ini penuh dengan orang yang kaya pengetahuan tapi tidak sekali gus kaya ilmu.

Manakala, di bahagian politik dan kebudayaan, Wahib sentiasa berada di posisi kontradiksi daripada tipikal pemikiran kelompok HMI dan aliran pemikiran semasa. Keadaan ini mengingatkan saya kepada ahli-ahli falsafah lain yang sentiasa sahaja berkontradiksi dengan aliran pemikiran semasa. Dan seperti biasa, hanya mereka yang berada dalam posisi berlainan merasakan kontradiksi itu satu keperluan bagi menjustifikasikan tindakan yang diambil.

Wahib berpendapat penyesuaian-penyesuaian yang dilahirkan kini pada gilirannya nanti akan melahirkan kontradiksi-kontradiksi baru dan untuk itu harus ada penyesuaian-penyesuaian baru lagi. Saya memanggil proses ini sebagai proses equilibrium – satu proses mencapai keseimbangan yang tidak mahu tidak akan berlaku secara sunnatullah.

Disebabkan Wahib lebih banyak mengutarakan persoalan-persoalan yang dihadapi hasil wacana yang dilalui berbanding jawapan, jadi sehingga ke akhir pembacaan, saya tidak tahu pendirian Wahib bagi sesetengah isu. Namun, perbincangan bersama Ustaz Wan Ji banyak mencerahkan beberapa kekeliruan yang wujud terutamanya pada bahagian masalah keagamaan. Tambahan pula, isu perbincangan lebih banyak berkisar topik masalah keagamaan berbanding politik dan kebudayaan serta kemahasiswaan dan keilmuan.

Namun, apa yang saya dapat rumuskan hasil daripada pembacaan dan bedah buku yang dibuat ialah, Wahib melalui penulisannya, berusaha membiarkan akal fikirannya menerawang ke segenap sudut isu-isu di sekeliling yang mampu ditanggapi sehingga timbul persoalan-persoalan yang saya kira terhasil dalam batas pemikiran seorang Wahib yang tidak akan lari dari dipengaruhi oleh latar belakang sosial, pendidikan dan kepentingan.

Disediakan oleh:
  1. Nurhidayu Rosli (Calon PhD - Sains Politik)
  2. Aisyah Jaafar (Calon PhD - Sosiologi)